Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah ini merupakan hasil rundingan yang berjaya menurunkan tarif import AS ke atas Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Menurut beliau, pembelian pesawat ini bukan sahaja memenuhi pertimbangan komersial tetapi juga menjamin keperluan jangka panjang industri penerbangan negara.
“Kita telah membuat beberapa komitmen, antaranya pembelian pesawat Boeing. Untuk fasa pertama, 30 pesawat bernilai AS$9.5 bilion akan ditempah, diikuti fasa kedua dengan jumlah dan nilai yang sama,” jelasnya pada sidang media di Menara MITI, hari ini.
Terdahulu, pada Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan 30 pesawat Boeing 737 yang dijangka diserahkan menjelang tahun 2030.
Difahamkan, peranan Malaysia sebagai pendamai dalam konflik Kemboja-Thailand turut memberi keyakinan kepada AS untuk menurunkan kadar tarif. Tawaran terakhir Malaysia juga telah mendapat kelulusan Kabinet pada 25 Julai lalu untuk dipertimbangkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
MITI bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dijangka mengeluarkan kenyataan bersama hujung minggu ini, bagi memperincikan butiran penuh mengenai pengurangan tarif berkenaan.