Malaysia Tambah 12 Set Tren Komuter Utara Baharu

oleh Qalif Latif|
Kementerian Pengangkutan mengumumkan pembinaan 12 set tren elektrik baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara akan dimulakan segera, dengan penghantaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh 36 bulan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd melalui tender terbuka pada 20 Mac lalu untuk perolehan 12 tren tiga gerabak (Three Car Set – 3CS).

Tren pertama dijangka dihantar dalam tempoh 22 bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas melawat Stesen KTM Alor Setar hari ini.

Kos & Skop Projek

Projek bernilai RM283 juta ini merangkumi reka bentuk, pembinaan, penghantaran, ujian dan pentauliahan tren sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) untuk operasi.

Menurut Loke, langkah ini akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan KTM Komuter Utara, sekali gus mengurangkan masa menunggu penumpang serta menawarkan pengalaman perjalanan lebih moden, selesa dan efisien.

Usaha Penambahbaikan Sedia Ada

Sejak 2023, Kementerian Pengangkutan melalui KTM telah melaksanakan beberapa penambahbaikan di sektor utara, termasuk mengalihkan gerabak tren Subang Skypark ke utara bagi menambah kekerapan perjalanan.

Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter turut dilanjutkan dari Butterworth-Padang Rengas sehingga ke Ipoh.

Peningkatan Penumpang

Data KTM menunjukkan purata jumlah penumpang harian perkhidmatan Komuter Utara meningkat 29 peratus, daripada 12,668 orang (2023) kepada 16,363 orang (2024).

Ini membuktikan langkah penambahbaikan sebelum ini berkesan dan perkhidmatan komuter semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” ujar Loke. - Bernama

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
KTMB dalam kenyataan berkata, mulai 1 Januari 2026, perkhidmatan ETS dan KTM Intercity (kecuali…
Berita Domestik
Perkhidmatan penumpang di stesen tersebut kembali beroperasi seperti biasa bermula jam 7.51 malam.…
Berita Domestik
Majlis agihan ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, YBhg. Dato’ Seri…