Malindo Air perkenal empat kali seminggu penerbangan Kota Bharu - Langkawi

oleh SALINA JALIL|
Malindo Air membuka tempahan untuk laluan penerbangan baharu Kota Bharu-Langkawi-Kota Bharu bermula 27 Januari ini.


Dalam satu kenyataan, Malindo Air berkata, penerbangan empat kali seminggu adalah laluan baharu ke Langkawi dalam memenuhi permintaan perjalanan domestik.

 

"Tambang promosi untuk sehala bagi laluan baharu Kota Bharu – Langkawi bermula daripada RM169, semuanya termasuk elaun bagasi percuma 15 kilogram (kg)," katanya.

 

Bersempena pelancaran laluan baharu itu, elaun bagasi percuma seberat 15 kg turut diperluaskan kepada pemegang tiket super jimat.

 

Menurut Malindo Air, penerbangan OD1334 akan berlepas dari Kota Bharu pada jam 10.15 pagi dan tiba di Langkawi pada jam 11.20 pagi dengan penerbangan akan mengambil masa 1 jam 5 minit.

 

"Penerbangan pergi balik OD1335 kemudiannya akan berlepas dari Langkawi pada jam 2.50 petang dan tiba di Kota Bharu pada jam 4.05 petang." katanya.

 

Perkhidmatan baharu itu akan dikendalikan oleh pesawat turbo-prop ATR72-600 milik Malindo Air dengan kapasiti 72 tempat duduk.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata laluan baharu itu menjadikan ia sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan antara Kota Bharu dan destinasi percutian terkemuka di Langkawi.

 

"Perkhidmatan baharu ini adalah sebagai maklum balas terhadap permintaan tinggi orang ramai. Kami percaya terdapat peluang besar untuk pertumbuhan masa depan yang dikaitkan dengan ketersambungan baharu ini," katanya.

 

Mushafiz berkata, laluan baharu itu bukan sahaja menarik industri pelancongan tetapi juga perniagaan daripada VFR (melawat keluarga dan saudara mara) dan komuniti perniagaan.

 

"Kami akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Langkawi, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Kelantan) dan semua agensi pelancongan di kedua-dua negeri.

 

"Kami percaya kerajaan Kelantan sedang menumpukan usaha untuk menarik pelancong domestik ke negeri ini bagi memulihkan kempen Melawat Kelantan yang terjejas akibat COVID-19," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Loke berkata, "Saya diberi laporan penuh. Pesawat itu terpaksa melencong ke Langkawi, dan sebaik…
Berita Domestik
  Seorang penduduk, Zana Abdullah, 45, yang selalu menggunakan perkhidmatan itu untuk ke ibu kota…