Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran yang sedikit besar berbanding model terdahulu, dengan panjang sekitar 3,695 mm, lebar 1,655 mm, tinggi 1,555 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,435 mm.
Selain daripada itu, saiz ruang kargo di belakang juga 40 peratus lebih besar, iaitu sekitar 313 liter.

Tidak seperti model terdahulu, rekaan Celerio generasi baharu menampilkan bahasa rekaan Dynamic 3D Organic Sculpting yang menjadikan rekaan lebih lembut seperti lampu utama yang lebih bulat, dan rekaan gril yang lebih kecil.
Menurut Maruti Suzuki, Celerio merupakan antara kereta yang paling jimat minyak di India, terima kasih kepada enjin 1.0 liter K10C yang berupaya menghasilkan 65 hp dan 89 Nm, dan menampilkan teknologi start-stop, Dual VVT, serta Exhaust Gas Recirculation (EGR)

Penggunaan bahan api dicatatkan serendah 3.74 liter/100 km untuk varian AMT sementara model bertransmisi manual mampu mencatatkan kecekapan sekitar 4.0 liter untuk setiap 100 km.
Ruang kabin juga telah menerima kemaskini rekaan, di mana ia kini menempatkan skrin infotainmen bersaiz tujuh inci di bahagian tengah, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pandu-mula, kawalan audio pada roda stereng dan tempat duduk pemandu boleh laras ketinggian.

Ciri keselamatan pula merangkumi dua beg udara, ABS, dan EBD sebagai standard, serta tambahan ciri bantuan mula mendaki untuk model bertransmisi AMT.
Bakal bersaing dengan model seperti Hyundai Santro, Tata Tiago, dan Datsun Go, harga jualan Maruti Suzuki Celerio di India bermula dari INR 499,000 (RM27,943) sehingga INR 649,000 (RM38,864).