Masalah kekurangan cip, VW Fox nampak macam kereta 90-an tanpa skrin infotainmen

oleh Mohamad Hanif|
Krisis kekurangan cip di peringkat global telah menyebabkan sesetengah pengeluar automotif terpaksa menghentikan sementara produksi kenderaan.

Namun, ada di antara mereka yang masih lagi meneruskan produksi, namun terdapat sesetengah kenderaan yang tidak dilengkapi dengan ciri-ciri tertentu.
 

Fox


Seperti contoh, Volkswagen Fox, sebuah model hatchback segmen B yang dijual di Brazil pada ketika ini di mana ia dijual tanpa sebarang sistem infotainmen langsung!

Berdasarkan gambar yang diperoleh daripada Motor1, bahagian papan pemuka Volkswagen Fox ini seakan sebuah kereta yang hadir dari tahun 90-an, di mana ruang paparan infotainmen telah ditutup dengan pelindung plastik.
 

Fox


Jika anda bertanya kenapa rekaan ruang kabin Fox ini seakan kuno, ini kerana model Fox itu sendiri merupakan kereta yang lahir dari platform lama Volkswagen (PQ24) yang telah digunakan sejak lewat 90-an.

Menurut kenyataan daripada wakil VW Brazil, beliau mengesahkan ketiadaan sistem infotainmen pada model Fox, di mana model tersebut kini lebih murah tanpa sebarang kehadiran skrin paparan bersaiz 6.5 inci itu.

Namun, sistem pendawaian, empat pembesar suara serta dua tweeter masih lagi dibekalkan secara standard dari kilang, di mana pembeli boleh mendapatkan head unit berasingan daripada pengedar Volkswagen.

Sumber: Motor1