Maserati MC20 2022 kini di Malaysia - 630 hp, 730 Nm, 0-100 kmsj 2.9 saat, dari RM1.08 juta sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Dua tahun selepas pengenalannya di peringkat global, Naza Italia-Maserati melancarkan secara rasmi jentera super sports Maserati MC20 untuk pasaran Malaysia, di mana unit pertama telah pun diedarkan kepada pemiliknya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Dengan kehadiran model Maserati MC20 (MC - Maserati Corse, 20 - 2020, tahun pelancaran model ini),  ia sekaligus menandakan bermulanya era baharu buat jenama Trident tersebut.

Ia dikuasakan oleh enjin Nettuno 3.0 liter turbo berkembar bentangan V6 90° yang mampu menjana kuasa setinggi 630 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 730 Nm @ 3,000-5,000 rpm, dipadankan dengan transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j hanyalah sepantas 2.9 saat, sementara pecutan 0-200 km/j pula  mengambil masa 8.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 325 km/j.
 

MC20


Dipadankan dengan berat badan sekitar bawah 1,500 kg, Maserati MC20 mencatatkan nisbah berat/kuasa terbaik di dalam kelasnya, sekitar 2.33 kg/hp, terima kasih kepada casis monocoque gentian karbon yang digunakan.

Sistem suspensi pula adalah jenis double-wishbone dengan gandar stereng maya untuk depan dan belakang, dibantu dengan bar anti-oleng.

Tahap aerodinamik jentera MC20 ini mampu dicapai hasil 'bertapa' di dalam Dallara Wind Tunnel selama lebih 2,000 jam dan lebih daripada seribu simulasi CFD (Computational Fluid Dynamics), dan tidak menghairankan apabila kadar pekali seretan MC20 adalah serendah 0.38 sahaja.
 

MC20


Susun atur ruang kabin pula lebih berorientasikan pemandu tanpa kehadiran butang-butang fungsi yang berlebihan.

Terdapat dua skrin bersaiz 10 inci, satu untuk kokpit dan satu lagi ditampilkan dengan Maserati Touch Control Plus, sementara di bahagian konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan nirwayar, butang pemilihan mod pemanduan (GT, Wet, Sport, Corsa, ESC Off), kawalan audio serta butang kawalan tingkap.

Terdapat sehingga enam warna yang boleh dipilih, iaitu Bianco Audace, Giallo Genio, Rosso Vincente, Blu Infinito, Nero Enigma dan Grigio Mistero.
 

MC20


Harga jualan untuk sebuah Maserati MC20 bermula dari RM1,078,000 tidak termasuk insurans, cukai, serta opsyen penyesuaian yang boleh ditetapkan sendiri oleh pemilik.

Setiap unit didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun tanpa had perbatuan, termasuk program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km (Yang mana terdahulu).

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Perlumbaan yang dijadualkan pada Sabtu 13 dan Ahad 14 April itu bakal mengambil tempat di Litar…
Berita Global
Sifat platform yang sangat fleksibel ini membolehkan Stellantis menghasilkan pelbagai jenis model…
Pelancaran
Ia membawakan trenkuasa yang terdiri daripada enjin turbo bersesaran 1,995 cc yang dipadankan…