MATA - Kerajaan dapat jana pendapatan tambahan RM1.5 billion jika dikenakan cukai barang mewah bagi kereta harga RM200,000

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pakar cukai menganggarkan kerajaan mampu mendapat suntikan pendapatan tambahan sehingga RM1.5 bilion sekiranya Cukai Barang Mewah dikenakan ke atas pembelian kereta berharga RM200,000 dan ke atas.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan kajian Institut Kajian Fiskal (IFS) sekiranya cukai mewah dikenakan ke atas kereta berharga sedemikian menurut laporan dari Berita Harian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sementara itu, katanya meskipun kerajaan masih belum mengeluarkan sebarang anggaran rasmi mengenai jumlah hasil tambahan yang akan dijana daripada cukai mewah, kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kerajaan boleh menjana antara RM500 juta dan RM1 bilion tambahan hasil setahun.

"Kajian itu juga mendapati bahawa cukai itu akan memberi kesan yang agak kecil ke atas pasaran kereta keseluruhan, kerana ia hanya akan dikenakan kepada sebilangan kecil kenderaan mewah.

"Kajian IFS juga mendapati bahawa cukai itu akan menjadi progresif, bermakna ia akan memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan tinggi lebih daripada mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada BH.

Mohd Fairuz berkata, adalah penting untuk diberikan perhatian bahawa jumlah kutipan hasil tambahan itu hanyalah anggaran dan jumlah sebenar hasil yang dijana daripada Cukai Barang Mewah ke atas kereta akan bergantung pada beberapa faktor, seperti reka bentuk khusus cukai dan keadaan keseluruhan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, adalah jelas bahawa Cukai Barang Mewah ke atas kereta berpotensi menjadi sumber pendapatan yang besar bagi kerajaan, sekali gus membolehkannya membiayai program sosial dan mengurangkan hutang negara.

"Anggaran cukai yang akan dikenakan ke atas barangan mewah adalah sebanyak lima hingga 10 peratus.

"Dengan mengambil harga asas RM200,000, cukai tambahan lima peratus (dengan andaian ia dikenakan ke atas jumlah penuh) bermakna kereta itu akan menjadi RM10,000 lebih mahal kepada pembeli dan meningkat sebanyak RM20,000 jika kadarnya 10 peratus.

"Begitu juga, kereta RM500,000 akan lebih mahal sebanyak RM25,000 pada kadar lima peratus atau RM50,000 jika 10 peratus.

"Walaupun ini semua permainan peratusan yang mudah, ia pasti akan memberi sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembeli kereta RM200,000 dan ke atas. Dengan andaian peratusan ini, kerajaan akan dapat mengutip cukai bagi menampung pendapatan ke atas golongan yang mewah," katanya.

Beliau menjelaskan, ia juga akan memberi kesan yang lebih ketara pada model kereta yang mempunyai varian yang melebihi nilai ambang.

"Dengan membuat andaian bahawa cukai akan dikenakan pada harga akhir item, jika anda menanda beberapa kotak pilihan walaupun pada model asas, itu akan menaikkannya melebihi nilai ambang.

"Oleh itu, beberapa model popular sudah mempunyai senarai menunggu yang panjang melepasi tarikh akhir 1 Mei, jadi kenaikan harga ini mungkin sudah dikenakan kepada pelanggan yang membuat tempahan baharu sekarang," katanya.

Mohd Fairuz berkata, kerajaan tidak mungkin akan melanjutkan atau menyerap perbezaan cukai melepasi tarikh pelaksanaan seperti yang dilakukan pada 'cuti' Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini, memandangkan Cukai Barang Mewah bertujuan untuk 'mengenakan cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan'.

"Persoalannya, adakah ia terpakai kepada EV (kenderaan elektrik), yang hampir dijual tanpa cukai di sini di Malaysia (selain daripada cukai jualan 10 peratus untuk model import sepenuhnya). Bagaimana pula dengan kereta import 'recond' yang mempunyai harga yang jauh lebih stabil.

"Adakah diskaun akan menjadi lebih berleluasa untuk membawa harga di bawah ambang? Patutkah kita menjangkakan lebih banyak kereta akan dijual pada harga RM199,999 tidak lama lagi? Bagaimana dengan kereta terpakai? Pastinya banyak persoalan yang masih belum terjawab," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan ketika ini sedang memuktamadkan dasar dan aspek perundangan untuk mengenakan cukai barangan bernilai tinggi.

"Sebarang perubahan kepada dasar cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Oktober lalu, kerajaan bercadang melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi atau Cukai Barang Mewah seperti barang kemas, jam tangan berjenama dan kereta bermula 1 Mei 2024.

Cukai berkenaan juga dikatakan akan dikenakan ke atas kereta yang dijual melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 dan barangan kemas berharga melebihi RM10,000.

 

Berita Harian