Dari segi luaran, antara perubahan ketara yang dibawakan pada Mazda 2 2023 versi facelift itu ialah rekaan muka hadapan serba baharu.
Penampilan baharu itu menampilkan rekaan jeriji besar bercorak honeycomb, memberikannya rupa yang lebih sporty dan kemas.

Melengkapkan lagi rupa sporti, Mazda 2 versi facelift itu turut dikemas kini dengan penawaran rim aloi hitam dan krom bersaiz 16 inci.
Pada bahagian dalaman pula, kebanyakan kelengkapan masih kekal sama, di mana ia kini datang dengan tambahan tempat duduk yang dibaluti kulit berwarna hitam bersama jahitan merah, serta trim papan pemuka berwarna hitam.
Tidak seperti pasaran Thailand, skrin infotainment masih dikekalkan bersaiz 7 inci, lengkap bersama fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi kuasa, ia masih mengekalkan penggunaan nadi 1.5 liter dipadankan bersama transmisi automatik 6 kelajuan, menghasilkan 114 HP dan 149 Nm.
Untuk pasaran Malaysia, Mazda 2 2023 facelift ditawarkan dengan 6 warna, iaitu Snowflake White Pearl, Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Polymetal Grey, AirStream Blue (varian Hatchback sahaja) dan warna yang baru ditambah Aero Grey (varian Sedan sahaja).
Hadir sebagai unit CBU dari Thailand, Mazda 2 2023 ditawarkan dengan harga bermula dari RM 108,670, di mana ia ditawarkan bersama Waranti Pengeluar 5 tahun dan Penyelenggaraan Percuma 5 tahun atau perbatuan 100,000 km.