Kesemuanya dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda (AWD) i-Active sebagai ciri asas.
Turut dilengkapi sistem Mazda Intelligent Drive Select atau Mi-Drive dengan mod Sport, Off-Road dan bergantung pada model, mod Towing atau EV.
Teknologi Kinematic Posture Control (KPC) yang sebelum ini dilengkapi pada MX-5 turut digunakan pada CX-70.
Seperti yang dinyatakan, CX-70 asalnya dari CX-90 dan kenapa perlu dua model berbeza?
Menurut Mazda, pelanggan CX-70 melihat kenderaan mereka sebagai objek untuk kegiatan hobi dan minat mereka.
Mazda telah membangunkan beberapa ciri utama yang meningkatkan lagi kebolehgunaan, keterhubungan dan keselesaan penumpang.
Di antaranya lipatan kerusi belakang kawalan jauh, ruang kargo yang dioptimumkan dengan slot tambahan dan cangkuk untuk beg.
Satu yang menarik ialah ruang tersorok di bawah kerusi belakang bagi menyimpan barang berharga dan terhindar dari pandangan.
Satu lagi ciri yang membantu ialah sistem Alexa Built-in yang dilengkapi pada semua varian dan pertama untuk crossover Mazda.
Sistem itu membolehkan pemandu membuat arahan seperti menukar suhu penyaman udara, stesen radio dan peranti pintar di kediaman.
Dari segi rekaan, bahagian depan dan belakang berbeza daripada CX-90 dan Mazda menawarkan warna Soul Red Crystal Metallic dan Zircon Sand Metallic.
Pilihan baharu Melting Copper Metallic nampak unik.
Bahagian dalam pula mempunyai pilihan warna perang dengan riasan dua tona atau merah yang dipengaruhi MX-5 100th Anniversary.
Berikut varian dan harga Mazda CX-70 2025:
CX-70 3.3 liter turbo M-Hybrid
- CX-70 3.3 Turbo Preferred: AS$40,445 (RM193,140)
- CX-70 3.3 Turbo Premium: AS$45,900 (RM219,208)
- CX-70 3.3 Turbo Premium Plus: AS$48,900 (RM233,522)
- CX-70 3.3 Turbo S Premium: AS$52,450 (RM250,454)
- CX-70 3.3 Turbo S Premium Plus: AS$55,950 (RM267,173)
Kesemua CX-70 3.3 Turbo digerakkan enjin e-Skyactiv G yang menghasilkan 280 hp, 450Nm manakala Turbo S lebih berkuasa dengan 340 hp dan tork 500Nm.
CX-70 2.5 PHEV:
- CX-70 PHEV Premium: AS$54,400 (RM259,769)
- CX-70 PHEV Premium Plus: AS$57,450 (RM274,363)
CX-70 PHEV menggabungkan enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat silinder dengan motor elektrik yang dikuasakan pek bateri 17.8 kWj.
Keseluruhan sistem menghasilkan 323 hp dan tork 500Nm.
Sebagai sebuah PHEV, SUV ini boleh dipandu menggunakan mod elektrik sehingga 41.8 kilometer.
Penulis: Muhammad Md Tajudin