Membawakan rekaan yang menawan sejajar dengan bahasa rekaan KODO, Mazda CX-8 direka untuk menjadi sebuah arca seni yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, serta perasaan pemanduan yang lebih premium.
Dari segi dimensi, Mazda CX-8 memiliki dimensi yang hampir sama seperti Mazda CX-5 namun dengan jarak roda yang lebih panjang (long wheelbase).
Mengikut spesifikasi, Mazda CX-8 boleh dikonfigurasikan kepada maksimum tujuh tempat duduk untuk varian asas, enam tempat duduk dengan kerusi kapten di bahagian tengah untuk varian pertengahan, dan enam tempat duduk dengan kerusi tengah dipisahkan oleh konsol tengah untuk varian premium.
Ruang ketiga pula direka supaya mampu memuatkan penumpang dengan lebih selesa berketinggian sehingga 170 cm.
Manakala rekaan bukaan pintu belakang pula mampu dibuka sehingga 80 darjah bagi memudahkan urusan keluar masuk SUV tiga baris tempat duduk ini dengan mudah.
Mazda CX-8 ditawarkan dengan dua pilihan enjin sahaja, iaitu 2.2 liter SkyActiv-D (188 hp/450 Nm) dengan pacuan semua roda dan enjin 2.5 liter SkyActiv-G (192 hp/257 Nm) yang memacu roda hadapan sahaja.
Empat varian ditawarkan dan kesemuanya digandingkan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive dengan enam nisbah kelajuan, serta ciri GVC Plus sebagai standard.
Peralatan standard pula terdiri daripada:
- rim aloi 19 inci
- lampu LED automatik
- lampu kabut LED
- lampu belakang LED
- sistem kemasukan tanpa kunci
- kawalan iklim tiga zon
- kerusi pemandu dengan 10 tetapan fungsi
- sistem MZD Connect
- enam beg udara
- Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC)
- ABS, EBD dan Bantuan Brek
- Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
- Kawalan Cengkaman
- Bantuan Mula Mendaki (HLA)
- cagak ISOFIX
Kecuali varian asas, Mazda CX-8 2019 hadir dengan kelengkapan i-ACTIVSENSE termaju yang merangkumi ciri seperti:
- Sistem lampu hadapan adaptif (AFS)
- Lampu utama LED adaptif (ALH)
- Pengawasan Titik Buta (BSM)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Amaran Keluar Laluan (LDWS)
- Bantuan Kekal Laluan (LAS)
- Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
- Sistem Sokongan Brek Pintar Hadapan dan Belakang (SCBS)
Ditawarkan dengan enam pilihan warna (Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver and Jet Black), SUV ini sudah boleh ditempah di mana-mana pusat pameran Mazda berhampiran.
Sama seperti CX-5, Mazda CX-8 akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Inokom Kulim, Kedah.
Setiap pembelian bermula dari 1 Januari 2019 akan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/100,000 km*, serta lima tahun servis percuma/100,000 km* termasuk kos buruh, alat ganti dan pelicir.
*yang mana terdahulu