Diposisikan sebagai varian yang paling premium, Mazda CX-8 didatangkan dengan nadi Skyactiv-G 2.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 228 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas maksimum 420 Nm @ 2,000 rpm, jauh lebih berkuasa berbanding Mazda CX-8 dengan enjin diesel (188 hp/450 Nm).
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AWD menerusi transmisi automatik Skyactiv-Drive enam nisbah kelajuan.
Dengan kapasiti tangki bahan api sebesar 74 liter, Mazda CX-8 2.5L Turbo ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 8.7 liter untuk setiap 100 km.
Sementara varian lain pula masih lagi dikekalkan dengan penawaran enjin Skyactiv-G 2.5 liter aspirasi natural (192 hp @ 6,000 rpm, 258 Nm @ 4,000 rpm), serta nadi Skyactiv-D 2.2 liter yang telah disebutkan tadi.
Secara standard, kesemua varian CX-8 didatangkan dengan kelengkapan seperti G-Vectoring Plus (GVC Plus), penambahan slot pengecasan USB pada tempat duduk baris ketiga, meter kluster instrumen sebesar tujuh inci, tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan enam tahap, pintu tailgate berkuasa bebas tangan, dan cermin sisi lipat automatik.
Kemasan dalaman pula bergantung kepada varian, di mana varian 2.5L Mid dan High didatangkan dengan kemasan kulit hitam, atau balutan kulit Nappa merah untuk varian 2.5L High Plus.
Untuk varian 2.5L High dan ke atas, ia mendapat kemasan seperti rekaan gril yang diperbaharui, lampu utama LED, lampu dalaman LED, sistem infotainmen Mazda Connect bersaiz lapan inci serta sokongan pengecasan nirwayar dan sambungan kepada Apple Carplay secara nirwayar.
Sistem keselamatan i-Activsense pula ditambah dengan ciri baharu seperti sistem pencahayaan hadapan adaptif (AFS), kawalan suluhan tinggi (HBC), sokongan brek pintar depan dan belakang (SBS) dan kawalan jelajah radar Mazda (MRCC) dengan fungsi berhenti/mula.
Secara standard, Mazda CX-8 didatangkan dengan lima beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Cengkaman (TCS), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki, fungsi Auto Hold, serta cagak ISOFIX.
Ciri keselamatan aktif seperti sistem pencahayaan hadapan adaptif (AFS), pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sokongan brek pintar hadapan (SCBS) hanya muncul pada varian 2.5L High.
Manakala varian pertengahan hingga premium (2.5L High Plus, 2.2D High Plus & 2.5L Turbo High Plus AWD) pula didatangkan dengan sokongan keselamatan aktif penuh dengan tambahan ciri kawalan suluhan tinggi (HBC), amaran keluar lorong (LDWS), sistem pengekalan lorong (LKAS), sokongan brek pintar depan dan belakang (SCBS), amaran tumpuan pemandu (DAA) dan kawalan jelajah radar Mazda (MRCC).
Terdapat sehingga tujuh warna menarik ditawarkan termasuk dua warna baharu iaitu Platinum Quartz dan Polymetal Gray.
Harga jualan untuk Mazda CX-8 2022 bermula dari RM177,647 sementara varian baharu CX-8 2.5L Turbo pula bermula dari RM212,225 (atas jalan tanpa insurans).
Setiap kenderaan Mazda (kecuali Mazda BT-50) dilindungi jaminan sehingga lima tahun serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun, dengan had jarak perbatuan 100,000 km, yang mana tiba dahulu.