Mazda2 Hybrid 2024 facelift - Yaris TNGA kini dengan rupa paras Mazda

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira dua tahun yang lalu, Mazda telah melancarkan sebuah model hatchback supermini Mazda2 Hybrid yang ditukarkan lencananya daripada Toyota Yaris TNGA-B.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jikalau versi terdahulu Mazda2 Hybrid boleh dikatakan sama sahaja rupanya dengan Toyota Yaris, kali ini Mazda menawarkan versi facelift dengan beberapa perubahan kosmetik yang selari dengan imej semasa jenama itu.

Paling ketara ialah kehadiran rekaan bampar depan dengan struktur perumah jeriji baharu, diikuti dengan kemasan pintu belakang yang lebih unik mengikut warna badan.
 

mazda2


Rim 15 inci merupakan ciri standard, di mana anda perlu mendapatkan varian Exclusive-Line dengan rim 16 aloi 16 inci, atau versi tertinggi Homura dan Homura Plus untuk rim bersaiz 17 inci, lengkap dengan sistem pencahayaan LED penuh.

Sementara ruang kabin pula mendapat kemaskini yang sama seperti Toyota Yaris facelift, seperti skrin kluster 12.3 inci, skrin paparan head-up, skrin tengah bersaiz 10.5 inci, bumbung panorama dan kawalan iklim dua zon untuk versi premium Homura Plus.

Versi asas Prime-Line pula datang dengan skrin infohibur bersaiz 9 inci, manakala versi Center-Line pula mendapat naiktaraf sistem audi dengan empat pembesar suara.
 

mazda2


Dari segi kuasa, Mazda2 Hybrid mengekalkan enjin hibrid tiga silinder sebaris 1.5 liter dengan janaan kuasa 114 hp dan 169 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 9.7 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 175 km/j.

Ia turut menawarkan mod pemanduan EV untuk laluan urban, dengan kadar penggunaan bahan api serendah 3.8 liter untuk setiap 100 km.
 

mazda2


Sayang sekali, Mazda2 Hybrid tidak mendapat naiktaraf kuasa enjin hybrid seperti yang wujud pada Toyota Yaris facelift, dengan kuasa meningkat kepada 130 hp dan 185 Nm untuk varian Hybrid 130.

Untuk makluman, Mazda Eropah masih lagi menjual model Mazda2 Hybrid versi tukar lencana ini bersama-sama dengan model Mazda2 original.

Langkah ini bertujuan untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna di sana, selain mampu untuk menurunkan kadar pelepasan emisi armada purata di benua tersebut tanpa perlu menghabiskan duit untuk membangunkan model yang khusus.

Baca: Toyota Yaris 2023 (Facelift Eropah)