MB Johor - Kerja turap, pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang siap bulan depan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari facebook Menteri Besar
Kerja-kerja penurapan dan pembaikan jalan melibatkan Lebuhraya Pasir Gudang di sini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerja pembaikan jalan di sepanjang lebuh raya melibatkan 23 kawasan itu kini berada di fasa yang terakhir.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata pihaknya turut mengambil maklum dengan aduan rakyat mengenai kesesakan teruk yang berlaku akibat daripada kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan berkenaan.

"Saya memohon agar semua pengguna dapat bersabar dan menggunakan laluan alternatif sehingga pertengahan Oktober ini.

Bagi jangka masa pendek, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat garisan jalan sementara bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Onn Hafiz berkata bagi laluan dari Johor Bahru ke Pasir Gudang dan dari Pasir Gudang ke Johor Bahru pengguna dicadangkan keluar melalui Jalan Pandan (FT03) dan susur Jalan Rinting, dan melalui Jalan Masai Lama (J10).

Katanya, dari Senai ke Ulu Tiram, pengguna boleh keluar melalui susur Bandar Dato Onn, kemudian keluar Adda Height, dan melalui Taman Daya, melalui Mount Austin, serta keluar susur Aeon Tebrau.

Bagi laluan dari Skudai ke Ulu Tiram pula, beliau mencadangkan supaya pengguna keluar susur Angsana Mall, melalui Jalan Tampoi dan keluar Kampung Ubi Baru.

"Saya juga telah meminta pihak JKR dan konsesi meneliti isu ini dan mendapatkan penyelesaian terbaik demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Saya meminta agar pengguna untuk bersabar sedikit dalam menghadapi isu kesesakan ini demi keselesaan dan keselamatan kita semua di masa hadapan," katanya.

Menurut beliau inisiatif dalam menambah baik infrastruktur yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat dan impak positif kepada kualiti kehidupan seharian rakyat negeri ini.

 

Bernama