MBPG - Saman parkir depan rumah dikuat kuasa demi keharmonian jiran

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan kediaman adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, ini kerana isu berkenaan telah menimbulkan banyak pergaduhan antara penduduk di kawasan kediaman masing-masing.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Beliau bagaimanapun berkata, penguatkuasaan undang-undang itu dijangka hanya akan mula dilaksana tahun depan, di mana pihaknya akan melakukan kempen kesedaran terlebih dahulu.

“Undang-undang ini telah lama ada, cuma perkara ini tular selepas terdapat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan itu ekoran ratusan aduan diterima MBPG. Tahun lalu kita terima 242 aduan, manakala sehingga September tahun ini, kita terima 349 aduan.

“Majoriti daripada aduan tersebut dibuat jiran-jiran yang memaklumkan mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain disebabkan perkara ini selama bertahun-tahun. Jadi sudah tiba masa kita kuat kuasa undang-undang ini demi keharmonian masyarakat dan penduduk.

“Hasrat kami adalah untuk memulihkan hubungan sesama anggota masyarakat. Pada masa sama kita juga tidak mahu membebankan lagi masyarakat tanpa sebab yang wajar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Menara Aqabah, Pasir Gudang, pada Ahad.

Tambah Asman Shah, tindakan penguatkuasaan itu juga merupakan tanggungjawab pihaknya kepada pembayar cukai di kawasan Pasir Gudang.

“Kita perlu bertindak terhadap setiap aduan diterima kerana tidak mahu dituduh sebagai tidak melaksanakan tanggungjawab. Walaubagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang itu dijangka hanya dibuat tahun depan.

“Kita akan adakan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang peraturan itu tahun ini. Sebelum ini kita beri kelonggaran kepada dan tidak mengenakan tindakan tegas sebaliknya bersikap fleksibel, namun apabila perkara itu perlu dilaksana, kita akan laksanakan,” ujarnya.

gambar hiasan

Asman Shah turut memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis berhubung kesalahan tersebut bagaimanapun masih tiada kompaun dikenakan kepada mana-mana pemilik kenderaan.

“Apabila kita terima aduan, kita akan buat pemeriksaan terlebih dahulu dan sekiranya benar aduan itu, kita akan berikan notis selama 21 hari untuk pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.

“Sekiranya masih berdegil, baharulah tindakan kompaun dibuat melibatkan jumlah minimum sebanyak RM100 dan maksimum sebanyak RM2,000 bagi kesalahan berulang.

“Saya rasa penguatkuasaan ini satu perkara yang bagus dan majoriti maklum balas kita terima adalah positif yang mana mereka menyokong ia dikuatkuasakan,” jelasnya lanjut.

Beberapa hari lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk kepimpinan politik.

 

Kosmo

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, pada dasarnya, semua ahli majlis MBPG bersetuju dan menerima kertas dasar…