McLaren 666S - McLaren 570S versi setan!

oleh Mohamad Hanif|
McLaren 570S merupakan salah sebuah model di bawah kelas Sports Series yang dihasilkan oleh McLaren, dengan bernadikan enjin V8 3.8 liter turbo berkembar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari kilang, enjin ini mampu menjana 570 PS dan daya kilas 601 Nm yang memacu dua roda belakang menerusi transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j juga sangat impresif, 3.2 saat sahaja!

 


Namun, lumrah makhluk yang bernama manusia biasanya tidak pernah puas dengan apa yang ada, dan syarikat penala Pogea Racing hadir dengan sebuah McLaren 570S yang telah ditala dikenali sebagai '666S'.

Enjin asal V8 berkapasiti 3.8 liter itu didatangkan dengan set ekzos serba baharu selain sistem ECU yang telah ditala semula bagi menghasilkan 666 PS (657 hp) - tambahan 100 hp berbanding 570S standard dan 65 hp lebih berkuasa berbanding 600LT!

Daya kilas juga turut melonjak kepada 800 Nm yang mampu menyamai keupayaan tork McLaren Senna, dan ia sememangnya memberikan penambahbaikan terhadap prestasi sebenar.

 


Pecutan 0-100 km/j mengambil masa hanya 2.9 saat, pecutan 0-200 km/j dalam 7.9 saat dan kelajuan tertinggi mampu mencapai angka 333 km/j.

Modifikasi enjin tersebut turut disekalikan dengan penggunaan coilover KW V3 dan set rim unik 20 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 untuk kadar cengkaman yang lebih memuaskan.

Satu perkara menarik yang ada pada 666S ini adalah sistem ekzos aftermarket yang dikatakan mematuhi pelepasan emisi Euro6 dan TUV, selain menampilkan ciri seperti injap boleh ubah dan penebatan haba yang ditambah baik untuk mengurangkan suhu enjin.

 


Bagi mana-mana pemilik McLaren 570S yang berminat boleh mendapatkan pakej naiktaraf bernilai €11,000 (RM53,601) dari Pogea Racing.