McLaren 720S Le Mans - imbau kembali kejayaan McLaren tahun 1995

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 1995, pasukan McLaren berjaya mengungguli kejuaraan perlumbaan 24 Hours of Le Mans menerusi jentera McLaren F1 GTR yang dipandu oleh JJ Lehto, Yannick Dalmas dan Masanori Sekiya di dalam kategori GT1.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lebih manis, ia merupakan kejayaan pertama McLaren di dalam perlumbaan berprestij itu di mana empat daripada lima kedudukan pertama dikuasai oleh jentera yang sama, McLaren F1 GTR!

Demi meraikan ulangtahun yang ke-25 kejayaan besar-besaran McLaren di dalam Le Mans, pengeluar kereta pantas itu membuat keputusan untuk melancarkan model edisi terhad McLaren 720S Le Mans.

 


Ia dihasilkan dalam unit yang cukup terhad di seluruh dunia, iaitu 50 unit sahaja di mana 16 unit daripadanya sudah pun dikhususkan untuk benua Eropah.

Antara perubahan ketara yang dibawakan termasuklah skup bumbung berwarna hitam berkilat, kemasan gentian karbon pada komponen sayap hadapan, tingkap belakang daripada polikarbonat, angkup brek emas, dan lebih unik, set rim aloi lima batang yang direka menyamai unit yang dipakai pada model juara F1 GTR.

Terdapat dua warna pilihan iaitu McLaren Orange atau Sarthe Grey, dan setiap model akan dipakaikan lencana "McLaren 25 Anniversary Le Mans" pada skirt sisi.

 


Untuk menjadikan model ini lebih istimewa, nombor VIN setiap kenderaan akan dimulakan dengan 298 sebagai pengiktirafan terhadap jumlah pusingan yang dilengkapkan oleh F1 GTR.

Ruang kabin pula menampilkan tempat duduk perlumbaan gentian karbon, pilihan dua warna untuk upholsteri Alcantara, roda stereng baharu dengan penanda pukul 12, dan plak peringatan yang ditampal pada papan pemuka.

Selain daripada itu, perehat kepala dan alas lantai juga turut didatangkan dengan logo yang serupa terdapat pada skirt sisi supercar ini.

 


McLaren 720S Le Mans ini walaubagaimanapun masih mengekalkan khidmat nadi bentangan V8 berkapasiti 4.0 liter turbo berkembar yang menjana 710 kuasa kuda dan 770 Nm daya kilas yang memacu roda belakang menerusi transmisi automatik tujuh nisbah kelajuan.

Ini bermakna, pecutan 0-100 km/j masih sama pada catatan 2.9 saat dengan kelajuan tertinggi 341 km/j.

Harus diingat, model edisi terhad ini dijual pada harga bermula dari £254,000 (RM1.3 juta).