Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah lebuh raya di California, di mana sebuah McLaren 720S Spider dikatakan berlumba dengan sebuah Lamborghini Huracan seperti yang diperlihatkan dalam gambar kemalangan tersebut.
Difahamkan, pemandu McLaren tersebut gagal mengawal supercar berkuasa 710 kuasa kuda itu, lantas merempuh penghadang konkrit beberapa kali sehingga mengakibatkan kerosakan teruk terutama pada supercar tersebut.
Kerosakan tersebut lebih tertumpu kepada bahagian belakang, di mana salah satu daripada tayar telah tercabut daripada kedudukan asal.
Insiden tersebut turut menarik perhatian pihak polis lebuh raya California Highway Patrol, dan dalam satu ciapan yang telah pun dipadamkan, hantaran tersebut menyindir pemandu McLaren tersebut dengan menyebut:
"Bila anda menyewa sebuah McLaren dan bertindak untuk berlumba dengan sebuah Lamborghini atas US-101 dan mengalami kemalangan! Lain kali, anda patut pertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan insurans sewa! Nasib baik tiada sebarang kecederaan serius berlaku."
Agak-agaknya, berapakah jumlah pampasan yang harus dibayar oleh pemandu malang itu kepada syarikat sewa kenderaan?