Memandu di bawah pengaruh alkohol, anggota tentera di penjara sehari dan denda RM5,500

oleh SALINA JALIL|
Seorang anggota tentera dijatuhkan hukum penjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau, semalam selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol 15 Ogos lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Tertuduh, Radin Esin, 39, yang bertugas di Kor Rejimen Semboyan Tentera Darat, Kem Kukusan, Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, kira-kira jam 12.25 tengah malam pada 15 Ogos lalu.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan.

 

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max ditahan menerusi Op Mabuk ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Chong Thien Vun, dekat sini, selepas hasil ujian pernafasannya didapati positif.

 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan penanggung tunggal dalam keluarga dengan tiga orang anak yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja.

 

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

 

Amir Shah sebelum menjatuhkan hukuman turut menjelaskan bahawa keputusan sabitan hari ini akan memberi kesan ke atas kerjaya tertuduh sebagai penjawat awam selain menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.

 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

 

 

 

BH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Di bawah akta baharu itu menyaksikan lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga…
Informasi
Lebih mengejutkan, itu hanya statistik untuk tempoh enam bulan pertama bermula Januari hingga Jun…
Informasi
Mereka membuat pengakuan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd…