Memandu ketika mabuk, lelaki dipenjara sehari, denda RM10,000

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan/gambar kecil dari Harian Metro
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, hari ini atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Puteri, di Batu Pahat, Mac lalu.


Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, Bernadus Thomas, 56, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
MINI MREC Banner Campaign February 2025 - Week 2

 

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda serta hilang kelayakan mendapat atau memegang lesen selama dua tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ketika itu memandu kereta ditahan di Jalan Puteri, Bukit Pasir, di Batu Pahat pada jam 12.35 tengah malam, 21 Mac lalu.

Dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 133 mg/100 ml iaitu melebihi 83 mg/100 ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 50 mg/100 ml.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda RM30,000 serta hilang kelayakan untuk mendapat atau memegang lesen selama dua tahun dari tarikh sebutan kes.

Terdahulu, tertuduh diwakili Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandang dia tidak berpendapatan tetap serta sudah insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serta pengajaran kepadanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mengikut pertuduhan, Kian Wee didakwa memandu kereta dengan kepekatan alkohol 96mg/100ml dalam…
Berita Domestik
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung untuk dua tahun. Mengikut pertuduhan,…
Berita Domestik
Lelaki berkenaan yang juga pemandu kereta jenis Honda CRZ ditahan ketika melalui pemeriksaan…