Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dua kali ganda melebihi paras dibenarkan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 9 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000 dan boleh dipenjarakan sehingga dua tahun selain hilang kelayakan memegang lesen memandu jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan subkompak (SUV) Perodua Ativa, telah melanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang pemuda berusia 28 tahun di Jalan Hill Top – Tanjung Batu, kira-kira jam 11.10 malam pada 8 Februari lalu.
Hasil siasatan, polis mendapati tertuduh disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berdasarkan ujian saringan pernafasan menggunakan alat EBA II mengandungi sebanyak 168 miligram Etil alkohol dalam 100 mililiter darah yang mana telah melebihi had yang ditetapkan iaitu 50 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah menyesal dan insaf atas kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kepentingan awam.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk memegang lesen memandu selama tempoh dua tahun selain tertuduh juga dikehendaki menjalani tambahan hukuman penjara selama tempoh 30 hari lagi, jika gagal membayar denda yang berkuat kuasa daripada tarikh sabitan.