Menteri Pengangkutan: Dasar perkhidmatan penghantaran makanan dibawa ke kabinet

oleh SALINA JALIL|
Dasar bagi mengawal selia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di negara ini akan dibentangkan ke Kabinet, dalam masa terdekat.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini, Kementerian Pengangkutan bersama kementerian lain sedang memuktamadkan perincian teknikal dasar berkenaan.

 

Beliau berkata, dasar itu antara lain memuatkan perincian mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) penunggang, had kandungan dibenarkan, selain aspek keselamatan jalan raya.

 

"Kabinet akan membuat keputusan berhubung dasar p-hailing selepas perincian kawal selia industri berkenaan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

 

"Secara prinsipnya, Kementerian Pengangkutan akan dipertanggungjawab bagi mengendalikan dasar untuk p-hailing dengan kementerian lain membantu memberi input berkaitan.

 

"Mesyuarat penyelarasan juga sudah dibuat antara kementerian dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebagai persediaan bagi dasar p-hailing itu dikemukakan ke Kabinet untuk kelulusan," katanya.

 

April lalu, Kementerian Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan bagi melihat kembali peraturan, sekali gus mengawal selia industri p-hailing di negara ini.

 

Ka Siong dilaporkan berkata, langkah itu dibuat bagi melindungi hak dan nasib penunggang penghantar makanan p-hailing.

 

Sebelum ini, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dilaporkan meminta kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan masalah dihadapi penunggang p-hailing terutama berkaitan sistem bekerja, prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan kadar upah yang diberikan.

 

Ahad lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pula dilaporkan berkata, dua pemain utama perkhidmatan p-hailing iaitu Food Panda Malaysia Sdn Bhd dan Grab Malaysia, diminta mengemukakan cadangan serta dasar yang komprehensif untuk dilaksanakan, dalam waktu terdekat.

 

Alexander berkata, ia bagi menambah baik perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna, peniaga dan penghantar, termasuk mengkaji kadar caj lebih rendah berbanding pada masa ini.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Beliau berkata, menerusi operasi yang dijalankan di Jalan Abdullah Tahir, di sini, baru-baru ini…
Berita Global
Persefahaman dua syarikat itu bakal menghasilkan motosikal elektrik di bawah nama Electrum dan akan…
Berita Domestik
  Sebanyak 25 notis kompaun dikeluarkan dalam waktu yang singkat menunjukkan kesedaran terhadap…