Mercedes-AMG A 45 S, CLA 45 S mendarat di Malaysia, harga dari RM449k

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz Malaysia hari ini telah melancarkan secara rasmi dua model kompak berprestasi tinggi, iaitu Mercedes-AMG A 45 S dan sedan coupe Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kehadiran dua model berprestasi tinggi ini melengkapkan lagi barisan model kereta pantas AMG setelah pelancaran model AMG aras mula, Mercedes-AMG A 35 Sedan yang dibuat pada tahun lalu.

Dari segi luaran, kedua-dua model A 45 S dan CLA 45 S didatangkan dengan penampilan agresif, terima kasih kepada gril Panamericana dengan rekaan menegak serta kehadiran bukaan udara yang besar pada bumper.

 


Aspek aerodinamik turut dikemaskan dengan penggunaan apron hadapan serta splitter hadapan bagi memastikan aliran udara dipertingkat, sekaligus menambah baik angka kadar pekali seretan.

Malah, rekaan cermin sisi juga turut diberikan tumpuan supaya bukan sahaja nampak sporti, malah mampu meningkatkan aspek aerodinamik.

Tidak seperti model standard A 45  dan CLA 45 yang datang dengan rim bersaiz 18 inci, model A 45 S dan CLA 45 S masing-masing dilengkapkan dengan rim aloi bersaiz 19 inci dengan layangan warna tantalum grey dan dibaluti tayar 245/35 R19 dan 255/35 R 19 untuk model sedan coupe.

 


Model S lebih senang dicam dengan kehadiran angkup brek enam omboh berwarna merah yang dihiasi dengan huruf AMG berwarna hitam.

Kemasan luaran diakhiri dengan dua tip ekzos berkembar berdiameter 90 mm, diffuser serta spoiler bumbung (A 45 S) atau spoiler boot pada model CLA 45 S.

Racun sebenar hadir dalam bentuk enjin serba baharu dengan konfigurasi empat silinder sebaris berkuasa turbo M139 yang merupakan enjin turbo empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia dihasilkan untuk produksi massa.

 


Enjin M139 yang dibina berdasarkan falsafah "One Man, One Engine" tersebut mampu menjana kuasa sehingga 416 hp dan daya kilas 500 Nm dan membenarkan pecutan sepantas 3.9 saat (0-100 km/j) untuk model hatchback dan 4.0 saat untuk model sedan coupe.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ menerusi transmisi AMG Speedshift DCT 8G yang telah ditala nisbahnya supaya menawarkan pecutan spontan dalam apa jua julat kelajuan.

Seperti yang diberitakan sebelum ini, pemandu boleh mengakses Drift Mode pada kedua-dua model A 45 S dan CLA 45 S ini dengan memasuki mod RACE, hanya jika ciri ESP dimatikan dan mod transmisi ditukar kepada manual.

Aspek pengendalian terdiri daripada sistem suspensi MacPherson untuk gandar hadapan diikuti oleh sistem suspensi 4-link di bahagian belakang.

 


Ciri opsyen sistem penyerap hentak adaptif AMG Ride Control pula membolehkan pemandu memilih sehingga tiga mod yang berbeza bermula dari pemanduan yang selesa kepada pemanduan yang lebih sporti.

Sistem ini beroperasi secara automatik dan mampu memberikan reaksi kepada setiap pergerakan roda (bergantung kepada mod dan kondisi jalan) dalam masa milisaat sahaja.

Manakala AMG DYNAMIC SELECT pula menawarkan sehingga enam mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan RACE (standard untuk model S) di mana terdapat  parameter yang boleh diubah seperti:

  • Trenkuasa - karakteristik pecutan, masa penukaran, karakteristik bunyi
  • Transmisi - manual atau automatik
  • AMG DYNAMICS - kawalan pacuan semua roda, karakteristik stereng, ESP.
  • Terdiri daripada Basic (untuk mod Slippery dan Comfort), Advanced (mod Sport), Pro (mod Sport+), Master (mod Race).
  • Casis - Comfort, Sport, Sport+

 


Ruang dalaman pula menampilkan sistem infotainmen MBUX yang menjadi kelaziman pada model-model baharu Mercedes-Benz, tempat duduk berkontur, upholesteri kulit ARTICO dan mikrofier DINAMICA, elemen warna kuning, stereng AMG Performance dengan balutan kulit nappa/mikrofier DINAMICA dan petunjuk pukul 12, serta sistem pencahayaan ambien.

Konsol tengah pula menampilkan komponen touchpad yang mengawal sistem MBUX tadi, serta terdapat butang tambahan yang diperlukan bagi mengawal ciri seperti ESP tiga peringkat, mod manual, serta fungsi suspensi adaptif AMG RIDE CONTROL.

Selain daripada itu, elemen AMG menguasai segenap ruang dengan kehadiran pedal sport keluli tahan karat, alas lantai AMG, roof liner fabrik hitam, serta kemasan keluli tahan karat pada ambang pintu dengan huruf AMG.

 


Tidak ketinggalan, ciri pencatat data AMG TRACK PACE yang membolehkan pemandu menganalisa prestasi pemanduan sendiri di litar lumba yang menggunakan ciri GPS serta penderia pecutan, giroskop, sudut putaran stereng, dan kelajuan roda.

Data-data tersebut akan dipamerkan pada paparan multimedia, kluster instrumen serta paparan head-up opsyen.

Manakala ciri MBUX Augmented Reality pula membolehkan sistem memaparkan garisan perlumbaan yang ideal untuk setiap litar pada paparan multimedia (atau head-up display), dan membantu pemandu memperbaiki rekod pusingan dengan bantuan pengajar maya.

 


Selain daripada itu, Mercedes-Benz turut melancarkan sebuah lagi model iaitu A 35 Edition 1 dengan pakej Edition 1 yang merangkumi komponen aerodinamik, warna Denim Blue serta kemasan pelekat emas di bahagian sisi.

Tidak seperti adik beradik kembar A 45 S dan CLA 45 S yang hadir dengan talaan yang lebih  berkuasa, A 35 Edition 1 ini masih kekal membawakan enjin 2.0 liter namun dengan talaan 306 kuasa kuda dan 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT 7G tujuh nisbah kelajuan.

Dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC, pecutan 0-100 km/j masih mampu dicapai dalam masa 4.7 saat.
 


Harga jualan bagi ketiga-tiga model adalah seperti berikut:

Mercedes-AMG A 35 Edition 1 - RM379,888
Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ Edition 1 - RM459,888
Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ - RM448,888

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
AMG GT63 S E Performance dikuasakan nadi V8 4.0 liter turbo berkembar bersama bantuan motor…
Berita Global
   Juga baharu fungsi transparent bonnet yang memaparkan pandangan maya pada bahagian bawah depan…
Berita Global
Berbanding varian berkuasanya GT63, Mercedes-AMG GT43 bersama nadi baharu itu turut tidak…