Mercedes‑AMG buat penyusunan, tubuh Affalterbach Racing GmbH, projek pertama ganti Mercedes‑AMG GT3

oleh Muhammad Md Tajudin|
Affalterbach Racing GmbH
Affalterbach Racing GmbH
Mercedes-AMG adalah satu nama yang gah. Model kereta, enjin serta aktiviti permotoran Mercedes-AMG mempunyai prestij tersendiri.

Perkembangan terbaru Mercedes-AMG bukan mengenai produk tetapi penyusunan semula bahagian permotoran bagi memenuhi keperluan dan perancangan masa depan.

Mercedes-AMG menubuhkan subsidiari baharu iaitu Affalterbach Racing GmbH.

Pada masa depan, syarikat akan bertanggungjawab terhadap semua program konsepsual dan aktiviti teknikal permotoran pelanggan AMG.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
Mercedes-AMG Motorsport

 

Mercedes‑AMG turut mengumumkan perancangan untuk membeli sebahagian pemilikan rangka kongsi lamanya, HWA AG dan kedua-dua syarikat telah menandatangani surat hasrat.

Satu yang menarik ialah, AMG juga dahulunya organisasi bebas yang mengubahsuai kenderaan Mercedes-Benz sebelum dibeli Daimler Chrysler AG pada tahun 1999.

Selain terlibat dalam sukan permotoran, HWA mempunyai satu projek menarik iaitu HWA EVO yang merupakan pembangunan semula Mercedes-Benz 190E 2.5-16 Evo II.

Kereta ikonik itu dilengkapi teknologi terkini dan dihadkan kepada 100 buah sahaja dan penghantaran dijangka pada penghujung 2025.

Senarionya begini, HWA keluarkan HWA EVO yang diubah suai dari Mercedes-Benz 190E Evo II dan Mercedes-AMG yang dimiliki Mercedes-Benz AG mempunyai pemilikan di dalam HWA.

 

HWA EVO

 

Satu lagi dimensi menarik, Daimler Chrysler (Mercedes-Benz) beli AMG, penala kereta Mercedes-Benz dan AMG beli sebahagian pembangun kereta lumba Mercedes-Benz (HWA).

Dari Mercedes-Benz kepada Mercedes-Benz. Sukan permotoran merupakan aspek penting di dalam DNA Mercedes-AMG.

Kebolehan yang ada akan dilengkapkan lagi oleh kepakaran Affalterbach Racing GmbH dan digunakan secara berfokus pada konsepsi dan pembangunan projek masa depan.

Sinergi di antara pelbagai bahagian pembangunan kenderaan jalanan AMG dapat diwujudkan dalam tempoh sesingkat mungkin.

Projek pertama yang disasarkan untuk membawa bersama kepakaran teknikal ialah membangunkan model pengganti Mercedes‑AMG GT3.

Kereta lumba itu diasaskan dari satu daripada produk Mercedes‑AMG GT.

 

Mercedes-AMG GT3

 

Model generasi kedua AMG GT telah dilancar pada 2023 dan model terbaru Mercedes‑AMG GT 63 PRO 4MATIC+ diperkenal baru-baru ini.

Sama seperti AMG, ibu pejabat Affalterbach Racing GmbH terletak di Affalterbach dan akan bekerja rapat dengan pasukan Mercedes‑AMG Motorsport.

Bahagian itu akan terus bertanggungjawab kepada keseluruhan penyeliaan kegiatan permotoran antarabangsa.

Kembali kepada HWA, kesemua kenderaan lumba Mercedes-AMG yang digunakan di litar sejak 2011 dibangunkan dan dikeluarkan oleh syarikat.

Kereta lumba pertama di bawah program permotoran pertama AMG ialah Mercedes-Benz SLS AMG GT3 (2010 - 2015) yang dibangunkan HWA.

 

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+

 

Perbincangan mengenai pengambilalihan bahagian permotoran pelanggan berada dalam peringkat kelulusan.

Penyatuan dengan HWA ialah untuk meningkatkan lagi standard Mercedes‑AMG Customer Racing pada masa depan.

Selain penggabungan kepakaran, perancangan sama turut melibatkan khidmat pelanggan antarabangsa di litaar dan sokongan alat ganti di Eropah, Amerika Syarikat dan China.

HWA AG akan meneruskan aktiviti sedia ada dan satu pengesahan yang menggembirakan ialah projek HWA EVO.

Butiran pembelian HWA belum dimaklumkan dan sebagai rujukan, Daimler Chrysler AG pada 1999 bermula dengan 51 peratus pegangan AMG sebelum dibeli penuh pada 2005.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Mercedes-AMG, HWA

 

Pengganti Mercedes-AMG GT3
Pengganti Mercedes-AMG GT3