Mercedes-AMG GLE 2023 diperkenal, GLE 53 kini lebih berkuasa dan tangkas!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023
Kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan karakter sporti dan berkuasa, inilah yang ditonjolkan melalui siri Mercedes-AMG GLE. 

Model GLE Coupé pula menawarkan sesuatu yang berbeza ala kereta sport dengan jarak kelegaan bumi tinggi.

SUV dengan gaya coupé bukan untuk semua namun kekal menarik di mata peminat. Mungkin ada yang bertanya kenapa tidak beli kereta sport coupé sahaja?

Jawapannya ialah SUV juga berhak untuk dibuat dalam bentuk coupé dan bergantung kepada citarasa masing-masing.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023

 

Terbaru Mercedes‑AMG memperkenalkan empat model 2023 iaitu GLE 53 Coupé, GLE 53, GLE 63 S Coupé dan GLE 63 S.

Dari depan, model 2023 tampil dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED rekaan baharu.

Mercedes-AMG GLE 53 turut berbeza dengan apron baharu dan sirip kemasukan udara sisi dalam bentuk sayap pesawat.

Perubahan yang dibuat mendekatkan lagi visual GLE 53 kepada model V8 GLE 63 S.

 

Mercedes-AMG GLE 53 2023
Mercedes-AMG GLE 53 2023

 

Turut ditukar pada model 2023 ialah logo AMG berbanding bintang Mercedes sebelum ini dan identiti tetap untuk kesemua model AMG akan datang.

Selain bahagian depan, lampu LED belakang turut menerima corak baharu. Ada dua warna tambahan iaitu Alpine Grey Uni dan Sodalite Blue Metallic.

Pada bahagian sisi, Mercedes-AMG memberikan roda tempa baharu saiz 22 inci dengan corak sepuluh rongga berkembar. 

Roda itu didatangkan standard untuk GLE 63 S Coupé dan pilihan kepada pembeli model lain. 

 

Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023

 

Pada bahagian dalam kerusi AMG untuk GLE 53 Coupé dan dua lagi model GLE 63 hanya ditawarkan dalam balutan kulit. 

Apa yang baharu ialah skema warna Bahia Brown/Black atau Macchiato Beige/Black. 

Pembeli diberi pilihan kemasan AMG Carbon Fibre atau MANUFAKTUR hitam piano dengan garis hiasan. 

Kesemua model Mercedes‑AMG GLE 2023 menerima versi terkini MBUX dan mempunyai skrin khas AMG.

 

Mercedes-AMG GLE 53 2023
Mercedes-AMG GLE 53 2023

 

Satu perubahan signifikan untuk model 2023 ialah penambahan kelengkapan standard dan dibuat susulan permintaan pelanggan.

GLE 53 kini dilengkapi bumbung suria panoramik elektrik jenis gelangsar, integrasi telefon pintar, kerusi depan dengan pemanas dan Adaptive Highbeam Assist.

Turut dilengkapi sistem ekzos AMG Performance, sistem bunyi Burmester, Memory Package, Parking Pilot 360 darjah, KEYLESS‑GO Package dan Blind Spot Assist.

Stereng AMG Performance juga dijadikan ciri standard dan pembeli diberi pilihan untuk mendapatkan fungsi pemanas dan kemasan gentian karbon.

 

Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 53 Coupé 2023

 

Senarai kelengkapan standard GLE 53 Coupé pula lebih istimewa dengan kawalan suhu untuk kerusi depan, fungsi MBUX Augmented Reality dan lampu depan MULTIBEAM LED.

Ciri itu sama seperti GLE 63 S dan pelanggan GLE 63 S Coupé boleh menikmati AIR‑BALANCE Package, kerusi depan pelbagai kontur dan papar pandu.

Lagi kelengkapan standard ialah MBUX Interior Assistant, pemegang cawan dengan kawalan suhu dan pancaran logo AMG apabila pintu depan dibuka.

Dengan perubahan kosmetik dan kelengkapan, bagaimana pula dengan enjin? 

 

Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023

 

GLE 53 dengan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris turbo berkembar kekal pada 435 kuasa kuda (hp).

Namun, perubahan yang dibuat pada perisian dan penggunaan pengecas turbo lebih besar melonjakkan daya kilas daripada 520Nm kepada 560Nm.

Enjin juga lebih responsif dan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) mengambil masa lima saat berbanding 5.3 saat sebelum ini. 

Selain enjin lebih tangkas, pelanggan model 53 boleh memesan set suspensi GLE 63 S.

 

Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé 2023


Penalaan pada perisian ESP®, pembeza gelinciran terhad (LSD) kawalan elektronik, pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dan sistem kawalan suspensi menjadikan pemanduan lebih dinamik untuk kesemua model.

Kedua-dua jenis enjin untuk GLE 53 dan GLE 63 dilengkapi Integrated Starter Generator (ISG) dan sistem elektrikal 48 volt.

ISG turut berfungsi sebagai sistem hibrid seperti pengaktifan semula enjin semasa mula/henti, menggalak (boosting), pemulihan dan sebagainya.

 

Mercedes-AMG GLE 63 S 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S 2023

 

Kesemua model AMG GLE dilengkapi pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dan suspensi udara AMG RIDE CONTROL+ dengan redaman adaptif.

Sistem penstabilan olengan aktif AMG ACTIVE RIDE CONTROL yang merupakan ciri standard pada model 63 turut boleh dipesan oleh pelanggan model 53.

Sistem itu mengurangkan olengan badan di selekoh dan talaan yang lebih jitu untuk membelok (turn-in) dan karakter perubahan beban.

Keselesaan ketika pemanduan di laluan lurus juga lebih baik.

 

Mercedes-AMG GLE 63 S 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S 2023

 

Ringkasan spesifikasi Mercedes-AMG GLE 53 dan GLE 53 Coupé

  • 2999 cc, 6 silinder sebaris, pengecas turbo berkembar, pemampat (compressor) elektrik dan ISG
  • Kuasa 435 hp + 15 kW/22 hp (ISG) @ 5800 - 6100 rpm
  • 560Nm + 200Nm (ISG) @ 2200 - 5800 rpm
  • Transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
  • Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas penuh boleh ubah
  • 0 - 100 km/j dalam masa 5 saat, kelajuan maksimum 250 km/j
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé dan GLE 53 Coupé 2023
Mercedes-AMG GLE 63 S Coupé dan GLE 53 Coupé 2023

 

Ringkasan spesifikasi Mercedes-AMG GLE 63 S dan GLE 63 S Coupé 

  • 3982 cc, V8, pengecas turbo twin scroll dan ISG
  • Kuasa 612 hp + 16 kW/22 hp (ISG) @ 5750 - 6500 rpm
  • 850Nm + 250Nm (ISG) @ 2500 - 4500 rpm
  • Transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
  • Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas penuh boleh ubah
  • 0 - 100 km/j dalam masa 3.9 saat, kelajuan maksimum 280 km/j

Penulis: Muhammad Md Tajudin