Mercedes-AMG GT R, GT C dilancarkan - nadi V8 turbo, bermula dari RM1.6 juta

oleh Mohamad Hanif|
Bagi memperlengkapkan lagi penawaran jentera berprestasi tinggi dari keluarga AMG, Mercedes-AMG kini membawakan kepada rakyat Malaysia pengenalan dua model yang dikemaskini, iaitu AMG GT R dan AMG GT C.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kedua-dua model yang diperbaharui ini kini dilengkapi dengan pelbagai teknologi termaju bagi menjadikan ia jentera yang terpantas, serta menawarkan pemanduan yang lebih lincah atas jalan raya. 

Mewarisi satu misi "One Man-One Engine", setiap jentera AMG didatangkan dengan enjin yang dipasang oleh individu yang terlatih. 
 


Mercedes-AMG GT-R kini dikuasakan oleh enjin 4.0 liter bentangan V8 turbo (M187) yang mampu menjana 585 kuasa kuda dan 700 Nm, memberikan pecutan sepantas 3.6 saat dari pegun ke 100 km/j. 

Kuasa yang dihamburkan ini juga melayakkan Mercedes-AMG GT R digelar sebagai Beast of Green Hell apabila mencatatkan masa pusingan 7 minit 10.9 saat di Litar Neraka Hijau, Nurburgring. 

Manakala Mercedes-AMG GT C pula duduk ditengah-tengah antara model GT R dan juga GT S, dikuasakan oleh enjin V8 turbo yang sama, namun dengan angka 557 kuasa kuda dan 680 Nm. 

Kuasa pecutan 0-100 km/j juga perlahan 0.1 saat berbanding AMG GT R, manakala kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 316 km/j (berbanding 318 km/j pada AMG GT R).
 


Kedua-dua jentera pantas ini digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift tujuh nisbah kelajuan yang memacu roda belakang. 

Aspek aerodinamik menjadi penyumbang utama kepada prestasi jentera AMG ini, seperti seksyen hadapan yang rendah, gril radiator yang membenarkan aliran udara yang lebih efisien serta komponen karbon yang terletak di bahagian bawah AMG GT R.

Ini membolehkan AMG GT R mengambil selekoh dengan lebih pantas, serta mengurangkan daya seretan yang bertindak ke atas badan jentera ini. 

Namun, secara standard kedua-dua AMG GT R dan AMG GT C mengadaptasi sistem pengurusan aliran udara aktif yang dikawal secara elektronik bagi menambah baik aliran udara dan prestasi aerodinamik. 
 


Prestasi pemanduan AMG GT R turut disumbangkan oleh penggunaan sistem suspensi yang direka khas untuk kegunaan di litar lumba, serta kawalan daripada sistem adaptif AMG RIDE CONTROL memberikan perasaan pemanduan yang lebih jitu dan mengurangkan kadar olengan ketika di selekoh. 

Ciri AMG DYNAMIC SELECT membenarkan pemandu mengubahsuai karakteristik jentera AMG pada transmisi, suspensi serta input stereng bergantung kepada keperluan dan juga kehendak pemandu. 

Dengan sensor yang mampu mengesan kelajuan serta sudut stereng, sistem akan memberikan anggaran bagaimana kenderaan memberikan reaksi, dan ini memberikan dinamik pemanduan yang lebih dekat dengan pemandu tanpa dipengaruhi oleh sistem elektronik. 

 


Dari segi luaran, beberapa perubahan diberikan seperti lampu hadapan LED yang diambil secara terus daripada model AMG GT empat pintu, serta lampu belakang yang turut menerima rekaaan baharu. 

Perbezaan antara kedua-dua jentera ini boleh dilihat menerusi beberapa aspek, di mana AMG GT C didatangkan dengan rekaan ekzos trapezium ala AMG GT 4-door Coupe, manakala AMG GT R pula hadir dengan sistem ekzos posisi tengah yang besar diapit dengan diffuser belakang. 

AMG GT C didatangkan dengan rim forged 5 batang berkembar AMG serta angkup brek berwarna merah, manakala AMG GT R pula menerima rim forged cross-spoke AMG serta angkup brek berwarna kuning terang. 
 


Memasuki ruang kokpit, inovasi teknologi termaju diperlihatkan dengan penampilan skrin instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan skrin tengah 10.25 inci yang boleh diubah tetapannya kepada tiga paparan spesifik - Classic, Sporty dan Supersport. 

Roda stereng AMG yang dibaluti dengan bahan mikrofiber DINAMICA ini menampilkan butang kawalan serba baharu pada bahagian kiri dan kanan stereng. 

Untuk jentera AMG GT R, Mercedes-AMG melengkapkan ia dengan AMG Track Package yang merangkumi sistem perlindungan rollover, harnesses keselamatan 4 poin, serta pemadam api 2 kg. 
 


Mercedes-AMG menawarkan program pembiayaan FinanceCare serta program penggantian kenderaan MobilityPlus di mana Mercedes akan memberikan kereta gantian sekiranya kenderaan anda diservis melebihi tempoh 48 jam. 

Harga jualan adalah seperti berikut: 

Mercedes-AMG GT R - RM1,712,888
Mercedes-AMG GT C - RM1,558,888

Berita Berkenaan

Berita Global
   Juga baharu fungsi transparent bonnet yang memaparkan pandangan maya pada bahagian bawah depan…
Berita Global
Berbanding varian berkuasanya GT63, Mercedes-AMG GT43 bersama nadi baharu itu turut tidak…
Informasi
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya rasa bertuah kerana Mercedes-Benz Malaysia tidak lokek…