Mercedes-AMG One 2023 - hypercar guna nadi V6 F1, 1049 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir lima tahun Mercedes-AMG mendedahkan konsep Project One, kini mereka akhirnya memperlihatkan secara rasmi Mercedes-AMG One di dalam bentuk produksi yang sebenar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Seperti yang kita semua maklum, Mercedes-AMG One merupakan sebuah hypercar yang disumbatkan dengan enjin F1, namun enjin tersebut sebenarnya telah pun diubahsuai untuk kegunaan di atas jalan raya.

Nadi bentangan V6 1.6 liter itu menampilkan penggunaan unit pengecas turbo tunggal dengan bantuan elektrik, DOHC, dan sistem pembersihan gas ekzos yang kompleks, dan unit ini sahaja berupaya menghasilkan 566 hp dan masih lagi mampu memenuhi piawaian Euro 6.

Mercedes-AMG One mempunyai sehingga empat motor elektrik, dua daripadanya dikhususkan untuk gandar depan dengan kuasa gandingan 322 hp, motor ketiga pula dipasang pada enjin dengan menghasilkan kuasa 161 hp, sementara motor keempat pula 'diikat' pada unit pengecas turbo yang menambah 121 hp.
 

AMG one


Secara keseluruhan, Mercedes-AMG One mampu menghasilkan kuasa gandingan setinggi 1,049 hp!

Sebagai sebuah hypercar plug-in hybrid, Mercedes-AMG One hanya dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 8.4 kWh dengan sistem penyejukan kompleks yang mampu membenarkan jarak sifar emisi sejauh 18 km.

Dengan berat keseluruhan sekitar 1,695 kg, sistem pacuan semua roda 4MATIC+ dan transmisi manual berautomatik tujuh kelajuan, Mercedes-AMG One mampu memecut sepantas 2.9 saat dari 0-100 km/j, atau tujuh saat dari 0-200 km/j.

Kelajuan tertinggi pula adalah sekitar 352 km/j.
 

AMG one


Binaan Mercedes-AMG One menggunakan casis monocoque gentian karbon yang menampilkan subrangka aluminium depan dan belakang, diikuti sistem suspensi jenis push-rod dengan lima lengan dan dua topang boleh laras pada bahagian depan dan belakang.

Dari segi luaran, ia tidak banyak berbeza dengan model konsep yang diperlihatkan pada tahun 2017, di mana AMG One masih lagi mengekalkan binaan skup bumbung yang disambungkan dengan sirip tengah, rekaan lampu utama LED yang nipis, diikuti dengan rekaan belakang yang agak sibuk dengan spoiler belakang aktif, diffuser besar, serta tip ekzos yang diinspirasikan daripada jentera F1.

Mercedes-AMG One secara standard didatangkan dengan rim aluminium tempa 10 jejari berserta dengan penutup aerodinamik daripada gentian karbon, atau pilihan rim magnesium sembilan jejari juga dengan penutup aerodinamik yang sama.

Rim itu tadi dibaluti dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 M01 yang dibangunkan khusus untuk hypercar ini, sementara sistem brek pula terdiri daripada angkup enam omboh dan rotor seramik karbon 15.6 inci di depan, dan angkup empat omboh dan rotor 15 inci di bahagian belakang.
 

AMG One


Sistem aerodinamik aktif boleh ditetapkan dalam tiga mod berbeza, iaitu:

  • Highway - untuk kegunaan biasa dengan sirip fender tertutup, flap depan dikembangkan dan sayap belakang diaktifkan
  • Track - mampu menghasilkan sehingga lima kali daya turun dengan flap depan dilipat, sirip fender terbuka, sayap belakang ditinggikan sepenuhnya, dan suspensi direndahkan 37 mm depan dan 30 mm belakang
  • Race DRS - mod seretan rendah, mengurangkan daya turun sebanyak 20 peratus untuk mencapai kelajuan tertinggi

Selain itu, pemandu juga turut mempunyai sehingga enam mod untuk dipilih iaitu Race Safe, Race, Race Plus, EV, Strat 2 (untuk litar sahaja), dan Individual yang boleh disesuaikan.
 

AMG one


Memasuki ruang kabin, AMG One ini dilengkapi dengan struktur kerusi boleh laras yang dilihat seakan sebahagian daripada binaan casis, roda stereng stail F1, serta dua skrin paparan bersaiz 10 inci.

Biarpun banyak elemen gentian karbon menguasai, ia juga turut menampilkan ciri-ciri moden seperti tingkap berkuasa, kawalan iklim, sistem audio yang tersendiri serta penggunaan kamera bagi menggantikan cermin pandang belakang.

Sebanyak 275 unit sahaja yang akan dihasilkan oleh Mercedes-AMG dan sayang sekali, kesemua unit tersebut dikatakan sudah mempunyai pemilik masing-masing dengan harga jualan $2.72 juta (RM11.91 juta) setiap satu.

Berita Berkenaan

Berita Global
Biarpun bertukar pasukan, beliau tidak membatalkan tempahan untuk model edisi terhad Mercedes-AMG…
Berita Global
Bercakap kepada CarSales, pengarah pembangunan kenderaan Mercedes-AMG Steffen Jastrow menjelaskan…
Berita Global
  Rekod tersebut dibuat pada 28 Oktober 2022 dan menariknya dipandu ke litar pada pukul 5:14:31…