Sebaliknya, ia akan dijual secara eksklusif di bawah Mercedes-AMG, dan seperti yang anda lihat, ia membawakan rupa hadapan yang tajam, diikuti dengan gril Panamericana dengan lampu utama bersegi yang menyamai model CLS.
Mercedes-AMG SL dibangunkan dari sifar menggunakan platform yang menampilkan penggunaan bahan seperti aluminium, keluli, magnesium dan bahan komposit.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,705 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm, bermakna model baharu AMG ini jauh lebih panjang berbanding model SL yang terdahulu.
Dari segi kuasa, varian 'asas' AMG SL 55 didatangkan dengan nadi 4.0 liter V8 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 470 hp dan 700 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat. sementara model SL 63 pula mampu menghamburkan 577 hp dan 800 Nm, dan pecutan sepantas 3.6 saat dari pegun ke 100 km/j.
Buat pertama kalinya, SL didatangkan dengan sistem pacuan 4MATIC+ yang menerima kuasa daripada transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.

Selain daripada itu, Mercedes-AMG SL juga turut dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang secara standard bertujuan untuk mengurangkan radius putaran di tempat sempit, serta meningkatkan kelincahan dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Sementara model SL 63 AMG pula mendapat tambahan sistem suspensi udara, LSD kawalan elektronik dan kawalan olengan aktif.
Pihak jurutera berjaya mengurangkan sehingga 21 kg dengan menggantikan bumbung keluli kepada penggunaan bumbung fabrik, di mana mekanisme bumbung itu tadi boleh dioperasikan dalam masa 15 saat pada kelajuan sehingga 50 km/j.
Segala sisa pembakaran disalurkan keluar ke atmosfera menerusi sistem ekzos dengan empat tip bersegi, manakala sistem spoiler belakang aktif pula disembunyikan dengan baik dan boleh ditetapkan sehingga enam tetapan.
Terdapat juga pakej aerodinamik yang menawarkan bampar aerodinamik, sistem aero aktif pada bahagian bawah depan, dan penambahan diffuser yang lebih agresif.

Seperti yang diperlihatkan sebelum ini, Mercedes-AMG SL didatangkan dengan sistem infotainmen MBUX terkini yang menampilkan paparan potret bersaiz 11.9 inci, diikuti dengan skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh.
Model SL baharu ini menampilkan konfigurasi tempat duduk 2+2, di mana tempat duduk depan boleh didapati dalam bentuk kerusi sports AMG atau kerusi prestasi AMG opsyen, sementara baris kedua dilihat hanya mampu memuatkan kanak-kanak kecil.
Tidak ketinggalan, ciri pemanasan leher Airscarf dengan sistem ventilasi yang terbina pada bahagian penghadang kepala turut didatangkan standardpada model SL.

Setakat ini, tiada sebarang harga jualan didedahkan oleh Mercedes-AMG.