Di pasaran terpakai, berkemungkinan agak sukar untuk anda menemukan sebuah wagon yang masih terpelihara.
Salah satu contoh yang kami bawakan dari luar negara ini adalah sebuah wagon Mercedes-Benz 300TE tahun 1993 menerusi iklan daripada Bring A Trailer.
Dengan usia kini yang kian mencecah ke angka 30 dan dengan jarak perbatuan 243,000 km, wagon Mercedes ini tampak masih gagah untuk membelah trafik di jalanan.
Pemiliknya tidak perlu untuk mengubah atau menjalankan modifikasi secara keterlaluan, cukuplah sekadar mengekalkan imej yang hensem seperti sedia ada.
Sementara itu, ruang dalaman juga cukup kemas terpelihara, di mana menurut iklan Bring A Trailer, tempat duduk didatangkan dengan unit boleh laras berkuasa elektrik balutan kulit daripada model W124 500E.
Kereta ini turut mempunyai bumbung suria, head unit Kenwood, kawalan pelayaran, serta kemasan kayu pada tombol gear dan papan pemuka yang menggunakan bahan kayu Zebrano.
Sebelum terlupa, terdapat kerusi baris ketiga di bahagian ruang kargo, di mana ia dipasang menghala ke arah pintu belakang.
Bagi mereka yang ingin mencuba nasib, dalam masa tiga hari ini anda boleh terus ke laman web Bring A Trailer untuk membida dengan jumlah terkumpul kini mencecah $5,100 (RM21,307).