Mercedes-Benz 500 K Special Roadster, diperkenal pada 1934, harga sebuah rumah!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-Benz 500 K Special Roadster
Mercedes-Benz 500 K Special Roadster
Kereta vintaj menyimpan sejarah kejuruteraan manusia. Satu yang mengujakan melihat kejuruteraan kereta yang berusia hampir satu abad.

Perkara seperti cara berfikir, bahan yang digunakan, kerja-kerja kejuruteraan dan gaya pada waktu itu bermain di fikiran. 

Apa yang pasti, kereta vintaj berkongsi satu perkara iaitu kemewahan yang merupakan taraf kekayaan pemiliknya pada masa itu.

Satu di antara kereta vintaj yang boleh dijadikan contoh ialah Mercedes-Benz 500 K Special Roadster.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Kemewahan kereta ini boleh disaksikan di Muzium Mercedes-Benz di Jerman. Apa yang membuatkan kereta ini hebat?

Seperti yang dikatakan, gaya, rekaan, teknologi dan dalamannya yang mewah. Ini adalah sebuah objek yang cantik.

Mercedes-Benz 500 K diperkenalkan di International Motor Show (IAMA) di Berlin pada Mac 1934.

Perhatikan sisi kereta ini yang dibuat anggun dan cantik. Menakjubkan dengan usia sembilan dekad.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Model Mercedes-Benz pada hari ini bukan sahaja digemari kerana imej mewah tetapi satu faktor penting ialah bagaimana ciri klasik dibawa ke model baharu.

Pereka Mercedes-Benz pula tidak ketandusan idea atau falsafah untuk dirujuk kerana legasi yang ada begitu besar.

500 K mempunyai sejumlah model dan Special Roadster diperkenal pada Oktober 1934 dan menjadi varian kelapan dan badan paling mahal.

Harganya? 28,000 reichsmarks (matawang lama Jerman) dan satu nilai yang begitu tinggi atau bersamaan rumah sesebuah di lokasi perdana pada masa itu.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

500 K menjadi pilihan orang ternama dari individu terkenal sehingga kepada ahli politik dan merupakan satu daripada kereta mewah kegemaran pada masa itu.

Reka bentuk kereta dengan sayap besar dan lenggokan cantik dan bonet panjang direka oleh Friedrich Geiger. Beliau juga pereka sebuah lagi karya agung iaitu Mercedes-Benz 300SL.

Friedrich Geiger ibarat jambatan di antara era vintaj dan klasik, dari dua dunia yang berbeza.

Selepas bersara, tugas beliau diambil oleh Bruno Sacco yang membuka satu lagi lembaran baharu dunia reka bentuk Mercedes-Benz.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Sudah sampai masanya reka bentuk Mercedes-Benz diberi perhatian dan bukan kejuruteraan atau kemewahan sahaja.

Bahagian dalam juga tampil mewah dan satu perkara mengenai kereta vintaj ialah butang dan meter yang direka kemas dan tersusun.

Meter kereta seperti dikeluarkan oleh pembuat jam tangan.

Walaupun berusia sembilan dekad, aura papan pemuka 500 K boleh dirasakan di dalam Mercedes-Benz terbaru.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Special Roadster bukan kereta dua tempat duduk. Di bahagian belakang ada kerusi tersorok atau mother-in-law’s seat. Pemijak pada madgad belakang memudahkan penumpang.

Selain itu, logo Sindelfingen bodywork pada sisi kereta yang merupakan pembuat badan terkenal menunjukkan mutu model 500 K Special Roadster.

Menggerakkan kereta ialah enjin M 29 dengan pengecas lampau (supercharger atau Kompressor) yang menghasilkan 100 kuasa kuda (hp) dan 160 hp dengan pengecas diaktifkan.

Tenaga tambahan dijana apabila pedal ditekan melebihi titik tekanan (kickdown effect) dan pengecas lampau mengeluarkan pekikannya beserta lonjakan tenaga.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Ampaian moden pada 500 K disesuaikan dari Mercedes-Benz 380 (W 22) sebelum itu dan sepadan dengan kuasa enjin.

Pautan (link) gandar depan jenis trapezoid dan gandar ayun belakang yang dipaten oleh Daimler-Benz bukan sahaja ke terkedepan pada masa itu malah masih diguna pada hari ini.

Rekaan gandar belakang membolehkan kereta dipecut laju dan selamat.

500 K merupakan sebuah kereta langka pada era 30-an dan hanya 342 buah untuk kesemua gaya badan dibuat dari tahun 1934 sehingga 1936.

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster

 

Mercedes-Benz menggantikan 500 K dengan 540 K yang digerakkan enjin lebih besar. Kedua-dua model mempunyai harga tinggi di pasaran bidaan.

Satu lagi yang menarik, Special Roadster mempunyai ramai peminat sehingga pembuat badan era 50-an mengubahsuai model sedan atau berhud (convertible) kepada Special Roadster.

Tujuannya untuk mendapatkan harga lebih tinggi. Namun, hanya Special Roadster tulen dari Sindelfingen yang kekal mempunyai harga tertinggi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes-Benz 500 K Special Roadster