Mercedes-Benz dedah dua konsep SUV elektrik: EQG dan Maybach EQS

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan acara IAA Mobility Show 2021, Mercedes-Benz turut membawakan dua buah model konsep SUV berkuasa elektrik, iaitu Mercedes-Benz EQG Concept dan SUV mewah Mercedes-Maybach EQS Concept.

Mercedes-Benz EQG

EQG

 

SUV off-road ikonik G-Class (atau Gelandewagen) kini dijelmakan semula sebagai sebuah model SUV elektrik menerusi model EQG Concept.

Menurut Mercedes, mereka mahu mengekalkan ciri-ciri ikonik yang terdapat pada G-Class seperti reka bentuk dan keupayaan off-road dalam penawaran yang lebih mesra alam.
 

EEQG


Memang tidak dapat dinafikan, Mercedes-Benz EQG Concept membawakan banyak persamaan dengan model G-Class, ditambah dengan elemen EQ seperti gril hadapan beriluminasi, serta kotak penyimpanan di belakang yang menyerupai kotak pengecasan Wallbox.

SUV off-road ini turut didatangkan dengan layangan warna dua tona, bar lampu LED bumbung, side guard beriluminasi, rim aloi 22 inci, serta rekaan bampar aerodinamik.
 

EQG


Mercedes-Benz EQG Concept masih lagi mengekalkan rangka ladder frame, sistem suspensi bebas di depan dan gandar rigid di bahagian belakang, sementara pek bateri pula diintegrasikan ke dalam kerangka untuk titik graviti yang rendah.

Menurut Mercedes, EQG bakal dikuasakan oleh empat unit motor elektrik (kuasa tidak didedahkan) yang mampu menawarkan kuasa yang mencukupi untuk kegunaan off-road, dan secara tidak langsung ia mempunyai output yang jauh lebih tinggi berbanding Mercedes-AMG G 63.

 

Mercedes-Maybach EQS SUV

EQS Maybach


Konsep SUV serba mewah berkuasa elektrik masa hadapan jenama Mercedes-Maybach diperlihatkan menerusi model Maybach EQS SUV Concept.

Menurut Mercedes, model SUV mewah ini dijangka tiba pada tahun 2023, dan model yang dipamerkan pada acara IAA Mobility Show 2021 merupakan bayangan sebenar kepada versi produksi Maybach EQS 2024.
 

EQS


Maybach EQS Concept ini dilayangkan dengan warna dua tona Zircon Red dan Obsidian Black Metallic, sementara bahagian depan pula menampilkan gril tertutup dengan rekaan 'jeriji' tipikal Maybach, serta lampu utama LED yang nipis dengan rekaan blok permata individu yang dikelilingi logo Maybach.

Bahagian sisi pula menempatkan rim bersaiz 24 inci rekaan ala-ala mangkuk, tempat pemijak sisi aerodinamik, serta pemegang pintu yang tertanam yang akan timbul sekiranya pemandu/penumpang menghampiri kenderaan.
 

EQS


Namun, Mercedes-Maybach EQS Concept ini turut didatangkan dengan ciri bukaan pintu automatik untuk tempat duduk pemandu, serta pintu di bahagian belakang.

Memasuki ruang kabin, Mercedes-Maybach EQS ini menawarkan rekaan stereng yang futuristik, skrin paparan Hyperscreen, rekaan konsol tengah terapung, aksen rose gold, trim white piano lacquer dan alas lantai bulu palsu.
 

EQS


Tempat duduk belakang eksklusif menempatkan sehingga dua orang VIP sahaja yang dipisahkan oleh konsol tengah, di mana ia memuatkan ruang untuk meletakkan pasu bunga, tempat pemegang cawan, serta sistem kawalan infotainmen.

Perincian trenkuasa tidak didedahkan, namun model konsep ini dibangunkan menggunakan platform elektrik serba baharu yang dikongsi bersama model EQS SUV yang memiliki jarak operasi sejauh 600 km dan bakal muncul pada tahun hadapan.