Mercedes-Benz EQA 2022 kini di Malaysia, 190 PS/370 Nm, jarak gerak 429 km, dari RM278,201

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz memulakan penawaran EV di Malaysia dengan melancarkan sebuah model aras mula Mercedes-Benz EQA 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Ditawarkan dalam varian tunggal EQA 250, crossover elektrik ini didatangkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan, menghasilkan kuasa setinggi 190 PS dan 370 Nm.

Pecutan 0-100 km/j sekitar 8.9 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 160 km/j.

Pek bateri berkapasiti 66.5 kWh pula membolehkan jarak operasi sejauh 402-429 km mengikut data kitaran WLTP, sementara sistem pengecasan AC 11 kW membolehkan bateri dicas dari 10 peratus hingga 100 peratus dalam tempoh 5 jam 45 minit.

EQA 250 ini turut menyokong pengecasan pantas DC 100 kW di mana bateri boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus kapasiti dalam tempoh 32 minit sahaja.
 

EQA


Dari segi luaran, Mercedes-Benz EQA 250 2022 menampilkan panel gril tertutup, unit lampu utama LED dengan jalur lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, pakej AMG Line dengan rim AMG bersaiz 19 inci.

Ruang kabin pula menempatkan kemudahan seperti tempat duduk sports dengan pakej Seat Comfort, roda stereng sports balutan kulit nappa, ciri pemanas untuk pemandu, kawalan iklim THERMOTRONIC, ciri tailgate EASY-PACK, slot pengecasan peranti pintar nirwayar, serta ambang pintu beriluminasi.

Sama seperti model GLA-Class, EQA turut didatangkan dengan skrin paparan berkembar dengan sistem operasi MBUX, paparan head-up, integrasi peranti pintar dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Advanced Sound System, serta modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me connect.
 

EQA


Ciri keselamatan pada model EQA 250 merangkumi pakej Driving Asisstance, Active Distance Assist DISTRONIC, bantuan pengekalan lorong aktif, bantuan stereng aktif, pemantauan titik buta aktif, bantuan brek aktif, bantuan suluhan tinggi adapatif, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Sebagai sebuah EV, EQA didatangkan dengan ciri bunyi akustik yang akan memberikan amaran kepada pejalan kaki dan penunggang basikal pada kelajuan 20 km/j, selain mampu membezakan antara pemanduan biasa dan pemanduan mengundur.

Harga jualan bermula dari RM278,201 atas jalan tanpa insurans, didatangkan dengan jaminan standard empat tahun tanpa had, serta jaminan lapan tahun atau 160,000 km (yang mana tiba dahulu) untuk bateri bervoltan tinggi.
 

EQA


Setiap pembelian EQA didatangkan dengan pakej kabel pengecasan pantas untuk wallbox dan stesen pengecasan umum, malah pelanggan juga boleh mendapatkan pilihan untuk memasang wallbox dengan perlindungan waranti selama dua tahun.

Selain itu, 1,000 pembeli EQA yang terawal juga boleh menikmati langganan eksklusif satu tahun dengan JomCharge, dengan pengecasan tanpa had pada diskaun 50 peratus.

Pada masa akan datang, Mercedes-Benz merancang untuk memasang sehingga 13 buah pengecasan pantas DC di beberapa lokasi pengedar strategik, di mana pelanggan EQ boleh menggunakannya tanpa bayaran sehingga akhir 2023.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi pelan ini, terdapat dua pilihan yang ditawarkan.   Step Up Agility Financing #1…