Mercedes-Benz EQE 2023 membawakan banyak persamaan rekaan dengan model sedan EQS (tipikal rekaan Mercedes), seperti gril hadapan yang 'kosong', unit lampu utama LED, serta rekaan lampu belakang melintang penuh.
Secara standard, model EQE Sedan dilengkapi dengan sistem stereng dan suspensi konvensional, namun dengan tambahan kos pembeli boleh mendapatkan sistem suspensi udara adaptif serta sistem stereng empat roda seperti yang terdapat pada model EQS Sedan.
Dari segi dimensi, EQE Sedan ini membawakan ukuran sepanjang 4,934 mm, lebih pendek berbanding dimensi EQS Sedan (5,265 mm).
Namun, disebabkan faktor tiada keperluan untuk memuatkan komponen mekanikal seperti aci pemacu, Mercedes-Benz EQE mampu menawarkan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,121 mm), sekaligus menawarkan ruang kabin yang hampir menyamai model EQS.
Diperkenalkan dalam satu varian tunggal, EQE 350 ini didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik tunggal yang berupaya menghasilkan 288 hp dan 530 Nm, sistem pacuan roda belakang, serta pek bateri 90.6 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 660 km.
Mercedes juga bakal menawarkan versi 4MATIC dengan motor elektrik kedua yang diletakkan pada gandar hadapan.
Dengan menggunakan sistem pengecasan pantas DC, pek bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam masa 31 minit sahaja.
Sama seperti model-model Mercedes-Benz masa kini, pembeli juga boleh mendapatkan trim AMG Line yang menawarkan rekaan bampar yang agresif, rim yang lebih besar serta tempat duduk sports bucket.
Untuk ruang kabin, Mercedes menggunakan kemasan kulit tiruan secara meluas, serta beberapa tim kayu yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pembeli.
Ciri skrin besar MBUX Hyperscreen yang ditawarkan pada EQS Sedan juga boleh dimuatkan secara opsyen pada EQE Sedan yang mencantumkan tiga unit skrin ke dalam satu unit paparan kaca melintangi bahagian papan pemuka, serta merangkumi ciri seperti pengesahan biometrik dan navigasi realiti terimbuh.
Produksi model EQE Sedan bakal bermula pada pertengahan tahun 2022.