Mercedes-Benz EQS 450+ 2022 - sedan EV saiz penuh, 333 hp/565 Nm, harga dari RM698,888

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model sedan elektrik saiz penuh Mercedes-Benz EQS 450+.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara asasnya, EQS merupakan sedan mewah pertama berkuasa elektrik yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz menggunakan senibina modular.

Ia membawakan garis badan seakan sebuah coupe dengan tiang A telah diposisikan jauh ke depan, dan tiang C pula dianjak ke belakang untuk mencipta ruang kabin yang lebih luas.
 

EQS


Disebabkan itu, Mercedes-Benz EQS ini mampu mencapai kadar pekali seretan serendah 0.20, menjadikannya kereta produksi yang paling aerodinamik di dalam dunia.

Ia turut memberikan manfaat dari segi kesenyapan, dan menjadikan jarak pemanduan yang lebih jauh - mampu mencapai jarak antara 631 km hingga 782 km untuk sekali cas penuh (data WLTP) terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 107.8 kWh.
 

EQS


Dari segi kuasa, Mercedes-Benz EQS 450+ ini hadir dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, menghasilkan kuasa setinggi 333 hp dan daya kilas 568 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.2 saat dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Sedan EQS 450+ ini turut menyokong sistem pengecasan AC 11 kW atau pengecasan DC 200 kW.

Untuk pertama kali, EQS 450+ menampilkan ciri stereng gandar belakang bagi memudahkan urusan pemanduan terutama di laluan sempit, serta pakej sistem suspensi dengan peredaman adaptif dan pakej AIRMATIC.

Secara standard, EQS 450+ ini didatangkan dengan kemasan luaran AMG, rim aloi ringan AMG bersaiz 21 inci, pakej DIGITAL LIGHT dan bantuan Adaptive Highbeam Assist Plus.
 

EQS


Sementara ruang kabin pula membawakan kemasan Electric Art yang menampilkan ciri seperti sistem pencahayaan ambien 64 warna, kawalan iklim automatik, slot pengecasan peranti pintar nirwayar, tempat duduk Comfort Seats, roda stereng balutan kulit nappa, paddle shifter krom perak bergalvani, serta kemasan Anthtracite pada sesetengah tempat.

Ini merupakan kali pertama sistem MBUX Hyperscreen bersaiz 56 inci membuat kemunculan di pasaran Malaysia dengan menampilkan ciri seperti pengimbas cap jari, sistem multimedia MBUX, dan tambahan skrin OLED untuk penumpang hadapan, selain menawarkan ciri lain seperti realiti terimbuh MBUX, sokongan hiburan untuk penumpang belakang, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem bunyi keliling Burmester 3D pula menawarkan pengalaman bunyi Silver Waves dan Vivid Flux yang serba interaktif, sementara pengalaman bunyi yang lain boleh dinyahkunci menerusi kemaskini over-the-air.
 

EQS


Untuk keselamatan, Mercedes-Benz EQS 450+ ini ditawarkan dengan sistem bunyi amaran akustik bagi membolehkan pejalan kaki dan penunggang basikal dapat mengesan kehadiran EV yang senyap ini pada kelajuan sekitar 30 km/j, malah bunyi ini juga boleh dibezakan antara pemanduan biasa atau mengundur.

Selain daripada itu, EQS turut mempunyai sehingga 350 unit penderia yang mampu merekodkan jarak, kelajuan, pecutan, sistem pencahayaan, keadaan cuaca dan suhu, sehinggalah kepada pengesan kelipan mata atau ucapan penumpang, di mana kesemua informasi itu tadi akan diproses oleh unit kawalan menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) dan menawarkan pengalaman baharu buat para pengguna.

Antara ciri lain termasuklah Driving Assistance Plus Package, Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre, PRE-SAFE, kamera 360 darjah, Active Parking Assist, sistem pemantauan tekanan tayar, serta beg udara tingkap dan lutut.
 

EQS


Harga jualan untuk Mercedes-Benz EQS 450+ bermula dari RM698,888.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan model rangkaian kenderaan elektrik (EV) Mercedes-EQ yang…