Tidak seperti model terdahulu, GLA-Class hanya boleh didapati dalam varian tunggal GLA 200 sahaja, dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo (163 hp/250 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik 7G-DCT.
Pecutan 0-100 km/j memakan masa 8.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.
Menerusi pilihan DYNAMIC SELECT, GLA 200 menawarkan pilihan mod pemanduan Eco, Sport dan juga Comfort.
Dari segi luaran, GLA-Class membawakan perubahan seperti jeriji radiator hadapan baharu, bampar depan dengan apron trim perak, diikuti dengan bampar belakang dengan komponen diffuser.
Selain itu, GLA 200 ini turut mendapat unit pencahayaan LED High Performance, fungsi Adaptive Highbeam Assist, lampu belakang LED, lampu kabus, rim bersaiz 18 inci, serta penawaran warna baharu Spectral Blue metalik.
Masuk dalam ruang kabin, GLA 200 ini telah diberikan roda stereng rekaan baharu, diikuti dengan skrin berkembar 10.25 inci, sistem pencahayaan ambien 64 warna, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit ARTICO, serta elemen trim corak bintang pada bahagian tertentu.
Untuk kemudahan penumpang, terdapat sehingga lima slot pengecasan USB-C disediakan dengan fungsi pencahayaan disertakan, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.
Ciri keselamatan turut dinaik taraf dengan sistem bantuan titik buta, bantuan amaran keluar, bantuan brek aktif, Parking Package, kamera undur, dan Mirror Package.
Mercedes-Benz GLA 200 2024 versi pemasangan tempatan ini dijual pada harga bermula dari RM258,888.