Dari segi luaran, Mercedes-Benz CLS facelift ini membawakan rekaan gril yang disemak semula, bampar hadapan yang lebih sporti, rekaan roda aloi yang dikemaskini, serta penawaran warna baharu yang digelar sebagai spectral blue metallic selain daripada warna-warna eksklusif seperti jupiter red, cashmere white magno dan emerald green.
Memasuki ruang kabin, CLS facelift ini hanya didatangkan dengan roda stereng rekaan baharu dengan ciri pad penderia dua zon yang mampu mengesan kehadiran tangan.
Ciri tersebut amat berguna apabila pemandu menggunakan teknologi bantuan pemanduan semi-autonomi di atas jalan raya.
Selain daripada itu, terdapat kemasan trim kayu dan kombinasi upholsteri warna neva grey/magma grey atau sienna brown/black, serta penawaran kulit designo nappa dua tona seperti classic red/black, saddle brown/black, tartufo brown/black, deep white/black dan yatch blue/black.
CLS 350 2022 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder sebarus yang menghasilkan 295 hp dan 400 Nm, sementara CLS 450 4MATIC pula didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter yang menghasilkan 325 hp dan 500 Nm.
Bagi mereka yang mahukan sentuhan AMG, terdapat Mercedes-AMG CLS 53 4MATIC+ yang didatangkan dengan enjin inline-6, serta talaan kuasa 429 hp dan 520 Nm, sistem pacuan semua roda dan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.
Terdapat versi Limited Edition yang dihadkan kepada 300 orang pembeli sahaja, di mana Mercedes-AMG membawakan kelengkapan standard seperti Night Package dan Night Package II yang terdiri daripada kemasan hitam pada sesetengah tempat, serta AMG Dynamic Plus Package yang menambah angkup brek merah, mod pemanduan Race, dan opsyen Drift.
Ruang kabin pula menerima roda stereng balutan kulit Nappa, kemasan upholsteri dua tona dan trim gentian karbon.