Mercedes dedah EQT Concept - minivan mewah!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak mengehadkan lencana Mercedes EQ untuk sedan dan SUV semata-mata, Mercedes-Benz kini menunjukkan potensi yang ada pada EQ menerusi model konsep terbaharu mereka, EQT Concept.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Mercedes-Benz EQT Concept (T-Class) merupakan sebuah minivan yang dikhususkan untuk membawa penumpang dan diberikan nafas mewah tipikal Mercedes berbanding versi komersial Citan yang dibangunkan daripada Renault Kangoo itu.

 


Dari segi penampilan, Mercedes-Benz EQT membawakan rupa hadapan dengan rekaan tipikal EQ seperti gril hadapan yang kosong tanpa sebarang bukaan dan dihiasi dengan rekaan bintang beriluminasi, dan diakhiri dengan sepasang lampu LED yang tirus.

Bahagian sisi pula menempatkan pintu jenis gelongsor yang membolehkan penumpang mengakses tempat duduk baris kedua dan ketiga dengan lebih mudah, sementara bahagian belakang pula menampilkan lampu LED yang dihubungkan dengan jalur LED melintangi pintu belakang.

 


Sementara bahagian dalaman pula membawakan kemasan kulit nappa putih pada tempat duduk, roda stereng dengan kehadiran butang fungsi (yang turut berwarna putih), serta kemasan biru berkilat yang boleh didapati pada perumah corong pendingin hawa dan konsol tengah.

Skrin kecil terapung di bahagian tengah itu beroperasi menggunakan perisian MBUX, diikuti dengan kehadiran butang kawalan iklim dua zon di bahagian bawah.

 


Tiada sebarang data berhubung trenkuasa elektrik dan kapasiti kargo yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz EQT, namun Mercedes mengesahkan model T-Class ini akan turut mendapat penawaran trenkuasa petrol dan juga diesel - kedua-dua disumberkan oleh Renault.

Terdapat kemungkinan besar Mercedes-Benz EQT Concept membawakan teknologi yang sama didapati pada Kangoo E-TECH dengan pek bateri berkapasiti 44kWH yang menawarkan jarak operasi sehingga 266 km (data WLTP).