Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series, Red Ambience dan White Ambience

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience
Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience
Jarang untuk sesebuah Mercedes-Benz dibuat dalam warna merah apatah lagi Mercedes-Maybach.

Jika warna tersebut jarang, bagaimana pula Maybach dua pintu? Tuan dan puan, inilah Mercedes‑Maybach SL 680 Monogram Series.

Roadster yang diasaskan dari Mercedes-Benz SL itu dibuat dalam warna merah atau dipanggil Red Ambience.

Jika merah bukan warna kegemaran, SL 680 Monogram Series White Ambience yang lebih tenang boleh dijadikan pilihan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series White Ambience.

 

Kedua-dua model itu membentuk koleksi Mercedes‑Maybach SL 680 Monogram Series.

Corak monogram yang sebelum ini digunakan pada jentera lumba Mercedes-AMG Petronas dan AMG ONE memang menarik.

Konsep yang sama diguna pada Monogram Series dan ditayangkan pada tukup, jeriji bawah dan sehingga ke bumbung yang boleh dibuka.

Untuk si merah, Mercedes-Maybach menggunakan warna Obsidian Black Metallic dan warna Manufaktur Garnet Red Metallic.

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience

 

Si putih pula dengan hitam yang sama dan Manufaktur Opalite White Magno. Tidak terhad kepada dua pilihan, pelanggan boleh menempah warna lain.

Selain warna, ciri lain pada model ini ialah jeriji radiator krom yang bernyala dan begitu juga tulisan Maybach di depan.

Logo bintang Mercedes di atas tukup ditemani jaluran sirip yang memanjang membelah bahagian tengah.

Tukup hitam obsidian sebenarnya adalah pilihan yang boleh ditempah pelanggan dengan corak Maybach dakan warna Graphite Grey Uni.

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series

 

Proses menghasilkannya begitu rumit dan sebahagiannya dilakukan dengan tangan.

Perincian hasil kerja juga boleh dilihat pada bahagian dalam lampu besar warna Rose Gold. 

Skirt depan menonjolkan kelebaran kereta dengan saluran udara melintang. Ciri mewah juga jelas pada bingkai cermin besar warna krom.

Riasan krom turut diguna pada skirt sisi dan dua rim saiz 21 inci ditawarkan iaitu jenis lidi atau lima rongga.

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series

 

Bumbung fabrik dihiasi corak Maybach dalam warna Anthracite. Bahagian tampil dengan rekaan ringkas kecuali skirt dan perumah muncung ekzos krom.

Di belakang kerusi, dua skup dengan rekaan aerodinamik mengukuhkan lagi karakter kereta.

Pada bahagian dalam, warna Crystal White kulit Nappa mendominasi dan kerusi mengunakan corak bunga baharu. 

Selain warna hitam, kereta ini diriasi perkakasan warna perak dan tipikal untuk Mercedes.


 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience

 

Meter digital untuk pemandu dan skrin tengah menayangkan animasi Maybach dan gaya paparan khusus. 

Satu lagi identiti Maybach ialah keselesaan akustik dan pelbagai kaedah digunakan untuk menghasilkan sebuah objek yang senyap dan selesa.

Di antaranya sistem ekzos, penebatan dan penyerapan dan ampaian yang condong kepada keselesaan serta cagak enjin lebih lembut.

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience

 

Maybach SL digerakkan enjin 4.0 liter V8 biturbo dengan 585 kuasa kuda (hp) dari 5,500 sehingga 6,500 rpm.

Daya kilas setinggi 800Nm dari 2,500 sehingga 5,000 rpm. 

Enjin dipadan bersama kotak gear automatik 9G-Tronic dengan pacuan semua roda 4MATIC+ boleh ubah.

Sistem pembelokan gandar belakang membantu dalam kelincahan dan kestabilan kereta.

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience

 

Dari segi prestasi, pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.1 saat dan memiliki kelajuan tertinggi 260 km/j.

Untuk praktikaliti, roadster bukan kenderaan sesuai dan kereta ini yang juga model Maybach paling sporti mempunyai ruang but 213 sehingga 240 liter sahaja.

Pelanggan di Eropah akan menerima Mercedes-Maybach SL Monogram terlebih dahulu pada 2025 sebelum disusuli pasaran lain.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Red Ambience