Mercedes Vision EQXX pecah rekod sendiri, mampu capai 1,202 km sekali cas!

oleh Mohamad Hanif|
Dalam percubaan pemanduan jarak jauh yang terdahulu, Mercedes Vision EQXX mampu mencapai jarak sejauh 1,007 km untuk perjalanan dari Sindelfingen, Jerman menuju ke Cassis, Perancis.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, Mercedes-Benz berjaya memecahkan rekod sendiri dengan mencapai jarak sejauh kira-kira 1,202 km untuk sekali cas penuh bagi perjalanan jarak jauh dari Stuttgart, Jerman ke Litar Silverstone, England.

Perjalanan selama dua hari, 14 jam dan 30 minit itu menggunakan jalan di dalam dunia sebenar yang dilalui oleh semua orang, seperti menempuh kesesakan trafik di London, serta berdepan dengan laluan lebuh raya yang ditutup separa.
 

Silverstone


Setibanya di Litar Silverstone, pelumba Formula E Nyck de Vries kemudian memandu EV EQXX ini sebanyak 11 pusingan dan mencapai kelajuan tertinggi 140 km/j sebelum kehabisan tenaga di laluan pit.

Sepanjang perjalanan tersebut, EQXX mencatatkan kadar penggunaan tenaga 8.3 kWh untuk setiap 100 km dengan kelajuan purata 83 km/j, berbanding pemanduan yang terdahulu 8.7 kWh untuk setiap 100 km.
 

EQXX


Setakat ini, Mercedes tidak mendedahkan kapasiti sebenar pek bateri EQXX, melainkan "ia kurang daripada 100 kWh", dan 30 peratus lebih ringan berbanding unit yang ada pada Mercedes-Benz EQS.

Selain daripada pek bateri, EQXX juga turut dilengkapi dengan panel solar bagi memaksimumkan jarak operasi.

Baca: Mercedes-Benz EQXX Concept