MINI Cooper SE John Cooper Works Trim, MINI elektrik dengan gaya JCW

oleh Muhammad Md Tajudin|
MINI Cooper SE John Cooper Works Trim
MINI Cooper SE John Cooper Works Trim
Di dalam menawarkan varian sporti dan berprestasi, pengeluar kereta biasanya memisahkan tanda nama model tersebut mengikut kategori naik taraf.

Sebagai contoh varian R-Line dan R dari Volkswagen tidak sama. R-Line lebih kepada penampilan manakala R melibatkan prestasi, pengendalian dan penampilan.

Begitu juga dengan AMG Line dan M Sport termasuklah varian Toyota GR Sport dan GR. Semuanya berbeza dan tidak dilonggokkan sekali.

Di sebalik amalan tersebut, tiada undang-undang yang menghalang dan terpulang kepada pengeluar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
MINI Cooper Electric

 

Pada September MINI Cooper Electric diperkenal dan seperti namanya adalah sebuah kenderaan elektrik (EV).

MINI turut memperkenalkan Countryman dan menariknya mempunyai dua nadi iaitu enjin pembakaran dalaman dan elektrik.

Turut menjadi amalan MINI ialah menawarkan versi berprestasi John Cooper Works (JCW) dan telah pun dipenuhi melalui JCW Countryman pada November.

 

MINI JCW Countryman

 

Bagaimana pula dengan MINI Cooper JCW? Bagaimana MINI menala kuasa elektrik bagi memenuhi nama JCW?

Nampaknya MINI mengambil pendekatan berbeza dengan memperkenalkan Mini Cooper SE John Cooper Works Trim.

Model itu asalnya sebuah MINI Cooper Electric yang dipakaikan perkakasan JCW atau turut dipanggil MINI Cooper Electric dengan Sport trim.

 

MINI Cooper SE John Cooper Works Trim 2024

 

Sebagai sebuah Trim, MINI Cooper ini kekal dengan 218 kuasa kuda (hp) dan tork 330Nm. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 6.7 saat.

MINI membekalkannya dengan bateri 54.2 kilowatt-jam (kWj) dan boleh dipandu sehingga 402 km (WLTP.

Menggunakan nama Sport juga bermakna model ini membawa identiti sukan permotoran dan sejarah kejayaan MINI di dalam perlumbaan.

 

MINI Cooper SE John Cooper Works Trim 2024

 

Dari depan boleh dilihat bampar yang lebih menonjol dengan peresap dan logo JCW pada panel jeriji selain grafik hitam merah pada tukup.

Bahagian sisi diserlahkan dengan rim 18 inci sepuluh bilah dan cermin sisi warna merah cili yang disepadan bersama bumbung. Skirt sisi juga berbeza daripada model biasa.

Bampar belakang lebih menyerlah dengan peresap yang bersegi dan menampakkan kelebaran sebuah kereta kompak.

Turut menyerlah ialah spoiler yang memanjang ke belakang. Satu perkara menjimatkan tentang EV ialah tiada ekzos yang perlu ditukar!

 

MINI Cooper SE John Cooper Works Trim 2024

 

Bahagian dalam kereta membawa tema hitam dan merah. Kerusi dibalut kulit sintetik dengan jahitan merah dan sulaman pelbagai warna pada bahu.

Turut menyerlah papan pemuka dengan corak kibaran bendera JCW.

Skrin OLED yang menonjol mempunyai diameter 240 milimeter (mm) dan memaparkan pelbagai maklumat seperti navigasi, media, telefon dan tetapan penyaman udara.

Melalui MINI Experience Modes, pemandu boleh menikmati pelbagai suasana termasuk mod GO-KART yang diinspirasi dari JCW.

 

MINI Cooper SE John Cooper Works Trim 2024

 

Mod itu menukar skrin dan lampu dalaman kepada warna Anthracite Red. Selain bunyi khas GO-KART, pemandu juga boleh merasakan tindak balas pendikit yang lebih sporti.

Tanpa ekzos pun tidak mengapa kerana kereta ini mengeluarkan bunyian istimewa agar tidak membosankan dan sepadan dengan nama yang dibawa.

Tesla yang tidak mempunyai bunyi pun tetap digemari kerana prestasinya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

MINI Cooper SE John Cooper Works Trim 2024