Model ini didatangkan dalam warna eksklusif Midnight Black dengan padanan jaluran bonet Brushed Aluminium matte serta trim Piano Black daripada MINI Accessories pada lampu hadapan dan belakang, jeriji, pemegang pintu, logo dan lencana ‘Countryman’ pada tailgate.
Turut disertakan adalah kit aerodinamik John Cooper Works (JCW) dan rim JCW Circuit Spoke berukuran 19 inci yang bersama tayar ‘run flat’.
Di bahagian kabin pula, Countryman Blackheath Edition didatangkan dengan upholsteri kulit Leather Cross Punch berwarna hitam karbon dan bumbung Anthracite.
Suasana ruang kabin diserlahkan lagi menerusi trim MINI Yours Illuminated dalam warna Piano Black, pencahayaan ambien dengan 12 pilihan warna serta sistem audio Harman Kardon berkapasiti 360 watt dengan 12 pembesar suara dan DSP Amplifier.
Model ini juga mendapat sistem navigasi dengan skrin berukuran 8.8 inci yang boleh dioperasikan melalui skrin sentuh, konsol tengah atau kawalan suara. Ia juga menyokong teknologi SIM 4G terintegrasi yang membolehkan fungsi Panggilan Kecemasan Pintar dan MINI TeleServices.
Countryman Blackheath Edition diberikan kuasa enjin MINI TwinPower Turbo 2.0-liter yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dari segi transmisi pula, ia hadir dengan Sport dwi-klac tujuh kelajuan dan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.
Setiap pembelian model ini, ia diberikan program Bantuan Tepi Jalan selama lima tahun oleh MINI Malaysia, berserta pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar; Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta servis Repatriasi.
Ia juga turut diberikan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh Empat Tahun berserta Servis Berjadual Percuma.
Harga jualan Countryman Blackheath Edition adalah RM253,888 (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans). BMW Group Financial Services Malaysia turut menawarkan Ballon Financing, iaitu pembiayaan MINI Countryman Blackheath Edition dengan ansuran bulanan RM2,908.00 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).