MINI Electric 2021 dilancarkan - bermula dari RM217 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada tiga model MINI berenjin pembakaran dalaman, MINI Malaysia juga memperkemaskini penawaran bagi model berkuasa elektrik sepenuhnya, MINI Electric yang telah pun dilancarkan pada tahun lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menurut Hans de Visser selaku pengarah urusan BMW Group Malaysia, sebanyak 250 unit MINI plug-in hybrid telah pun dihantar kepada pelanggan semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2018, manakala sebanyak lebih 30 unit MINI Electric habis terjual selepas pelancaran rasmi pada tahun lalu.

Untuk model tahun 2021, MINI Electric tampil dengan beberapa kemaskini penampilan seperti contoh bampar hadapan yang kini tidak mempunyai lampu kabus, sebaliknya dipasang dengan tirai udara untuk memperbaiki aspek aerodinamik.

 


Selain daripada itu, MINI Electric turut mendapat lencana S baharu berwarna kuning menggantikan lencana E yang terdahulu, serta perumah lampu LED adaptif berwarna hitam berkilat.

Bahagian belakang pula, pemegang tailgate yang dahulunya berwarna Vigorous Grey kini digantikan dengan warna hitam, sementara bampar pula mengekalkan rekaan asal.

Keempat-empat sudut dipasangkan rim MINI Electric Power Spoke dua tona bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar run-flat.

 


Trenkuasa elektrik pada MINI EV ini terdiri daripada motor elektrik pacuan roda hadapan berkuasa 184 hp/270 Nm, serta pek bateri 12 modul berkapasiti 28.9 kWh yang membenarkan jarak pergerakan sejauh 232 km (data WLTP).

MINI Electric mampu memecut sepantas 7.3 saat (0-100 km/j) sebelum mencapai kelajuan tertinggi yang dihadkan 150 km/j sahaja.

Dengan pengecasan pantas DC, ia mampu mengisi kapasiti bateri dari sifar ke 80 peratus dalam masa 36 minit sahaja, sementara MINI Wallbox Plus menawarkan masa pengecasan 0-80 peratus dalam tempoh 2 jam setengah.

Status pengecasan pula boleh dilihat menerusi bahagian dalam slot pengecasan, atau paparan kluster digital atau menerusi MINI App.

 


Antara kelengkapan yang ditawarkan pada ruang kabin MINI Electric termasuklah roda stereng rekaan baharu, hiasan geometri, sistem pencahayaan ambien, skrin tengah MINI Navigation System 8.8 inci, MINI Head Up Display serta sistem audio Harman Kardon 360 watt dengan 12 pembesar suara.

Selain daripada ciri keselamatan seperti Driving Assistant dan Park Assistant seperti model-model MINI yang lain, MINI Electric mendapat ciri Green Driving Assistant (GDA) yang mampu menawarkan fungsi seperti Range Assistant yang mampu membantu mencadangkan laluan atau mod pemanduan yang lebih sesuai dengan kapasiti bateri, serta lokasi stesen pengecasan yang berhampiran.

MINI Electric ditawarkan dalam warna ekslusif White Silver (Black Roof/Energetic Yellow Accent), British Racing Green (Black Roof/Black Mirror Caps), serta Midnight Black (White Roof/Energetic Yellow Accents).

 


Harga jualan bermula dari RM217,470.73 atau bulanan serendah RM2,418.00 berdasarkan pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun.

MINI Malaysia menawarkan jaminan selama empat tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau jarak 100,000 km untuk pek bateri yang lengkap dengan Servis Berjadual Percuma.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada 2011, MINI Countryman telah mendapat…
Berita Domestik
Pelanggan yang membuat pembelian jentera MINI baharu akan dapat menikmati kadar faedah serendah 0.…
Kereta
Ruang ekzos digunakan untuk mengisi bateri 32.6 kWh dan kerana Mini ialah sebuah kenderaan yang…