MINI Malaysia lancar MINI varian John Cooper Works 3 Door, Countryman - dari RM311 ribu

oleh Mohamad Hanif|
MINI Malaysia baru-baru ini mengemaskini penawaran kereta MINI dengan memperkenalkan varian MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman untuk pasaran tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

MINI John Cooper Works 3 Door membawakan perubahan terhadap penampilan luaran seperti gril radiator yang kini berbentuk heksagon yang lebih  besar, unit lampu LED adaptif dengan perumah hitam, diikuti dengan bukaan liang penyejukan yang lebih besar untuk unit enjin dan sistem brek.

Bahagian sisi dikemaskan dengan cladding plastik pada arca roda, sementara bahagian belakang pula menampilkan diffuser bagi memastikan aliran udara yang lebih lancar, serta sistem ekzos yang disudahi dengan dua tip ekzos berbentuk bulat.

 


Model MINI John Cooper Works Countryman juga turut menerima kemaskini rekaan seperti rekaan gril radiator baharu, serta unit lampu yang dihiasi dengan rekaan signatur Union Jack.

Tidak ketinggalan, kedua-dua model MINI John Cooper Works 3 Door dan Countryman mendapat trim Piano Black Exterior yang terdiri daripada pemegang pintu, logo MINI dan lencana diwarnakan hitam berkilat.

 


Dari segi kuasa, MINI John Cooper Works 3 Door didatangkan dengan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo yang menghasilkan 231 hp dan 320 Nm, dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 6.1 saat dan kelajuan tertinggi adalah 246 km/j, sementara bacaan penggunaan bahan api pula adalah serendah 6.3 liter untuk setiap 100 km.

Aspek pemanduan MINI John Cooper Works 3 Door dilengkapkan dengan sistem brek Brembo terdiri daripada angkup empat omboh berwarna merah dengan cakera berliang, serta sistem suspensi adaptif yang ditambah baik bagi memastikan keseimbangan antara pemanduan yang sporti dan selesa.

 


MINI John Cooper Works Countryman pula menampilkan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo dengan talaan yang jauh lebih berkuasa, iaitu 306 hp dan 450 Nm, sistem transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan kelajuan tertinggi 250 km/j.

Bacaan penggunaan bahan api pula dicatatkan pada angka 7.6 liter untuk setiap 100 km.

Aspek pemanduan MINI John Cooper Works Countryman tidak pernah diketepikan, di mana ia mendapat casis dengan kadar ketegaran tinggi, sistem suspensi adaptif yang ditala oleh pakar perlumbaan, kawalan Dynamic Stability Control dan sistem stereng elektromekanikal.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup empat omboh di hadapan, sementara bahagian belakang pula mendapat angkup brek omboh tunggal jenis terapung.

 


Ruang kabin MINI John Cooper Works 3 Door didatangkan dengan roda stereng rekaan baharu dengan kemasan Piano Black dan logo John Cooper Works, kemasan MINI Yours Aluminium Interior Surface, skrin infotainmen bersaiz 8.8 inci, skrin kluster digital 5.0 inci serba baharu dengan teknologi panel hitam, serta sistem pencahayaan Colour Worlds (Lounge/Sports) bergantung kepada mood pemandu.

Untuk MINI John Cooper Works Countryman, ruang kabin juga turut diberikan kemaskini yang lebih malar segar seperti penggunaan aksen baharu, skrin paparan tengah bersaiz 8.8 inci, skrin digital 5.0 inci, kemasan papan kawalan warna Piano Black, serta roda stereng rekaan baharu.

Ciri standard untuk kedua-dua model merangkumi tempat duduk Sports John Cooper Works balutan Dinamica Leather, paparan head-up, sistem Comfort Access, mod pemanduan, sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara dan bumbung panorama.

 


Senarai tersebut kemudian dilengkapkan lagi dengan ciri keselamatan seperti Driving Assistant yang merangkumi bantuan suluhan tinggi, informasi had laju, dan brek kecemasan automatik bandar, amaran keluar laluan serta Parking Assistant.

Seperti model-model MINI yang telah dilancarkan sebelum ini, MINI John Cooper Works 3 Door dan Countryman turut menyokong aplikasi New MINI App yang boleh dimuat turun dari Google Play Store dan Apple App Store.

Terdapat beberapa warna eksklusif ditawarkan seperti Rebel Green, Midnight Black dan White Silver, serta warna bumbung merah.

 


Harga jualan adalah seperti berikut:
MINI John Cooper Works 3 Door  - RM311,259.49
MINI John Cooper Works Countryman - RM383,463.07

Pelan pembiayaan MINI Balloon Financing juga menawarkan harga ansuran serendah RM3,458.00 (model 3 Door) atau RM4,258.00 (Countryman) dikira berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus untuk tempoh lima tahun.