Tinjauan Berita Harian mendapati kedai runcit di pasar itu menjual bahan api berkenaan yang dijual dalam botol 1.5 liter dengan harga 45 baht (RM5.76).
Petrol berkenaan bukan dari Thailand kerana bahan api berkenaan berharga 46.54 baht (RM5.96) seliter dan tiada stesen minyak dalam radius tiga hingga ke lima kilometer berhampiran sempadan itu.
Peniaga juga mengangguk jika petrol berkenaan datang dari Malaysia.
Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Dini, 50-an memberitahu petrol berkenaan untuk kegunaan motosikal roda tiga atau dikenali sebagai 'choley' yang digunakan peniaga di pasar itu untuk membawa barang dagangan ke premis jualan.
"Saya ada dengar di Malaysia, diesel sudah jadi mahal. Kedai di sini hanya jual petrol Malaysia sahaja dengan harga 45 baht untuk kegunaan kecil-kecilan seperti motosikal di sini.
"Untuk diesel agak susah nak jumpa sini kerana memerlukan bekas yang besar. Lagipun diesel untuk kegunaan kenderaan besar macam pikap, lori atau bas," katanya.
Penjualan diesel di stesen minyak komersial berhampiran sempadan Malaysia-Thailand terutama di Wang Kelian dan Padang Besar menunjukkan penurunan sejak pengapungan harga diesel dilaksanakan sejak 10 Jun lalu.
Penjaga stesen minyak di Wang Kelian, An Yusran, 48, berkata, sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, jualan diesel di premisnya berkurangan lebih 50 peratus.
"Bila harganya naik kepada RM3.35, sudah tak banyak terutama van, trak, atau kenderaan pacuan empat roda Malaysia yang guna diesel nak datang isi diesel di sini. Saya boleh katakan secara kasarnya penurunan lebih 50 peratus dari segi jualan.
"Selain itu, pikap Thailand juga agak berkurangan mengisi diesel di sini. Saya difahamkan mereka ada yang menyeludup diesel dan mereka akan mengisi bahan api itu dari stesen ke stesen tetapi untuk perkara itu sudah nampak kurang di stesen minyak ini," katanya.
Perkembangan yang berlainan pula dapat dilihat bagi pengusaha stesen minyak tidak bersubsidi di sekitar sempadan Malaysia-Thailand apabila langkah penyasaran diesel membawa peningkatan pada jualan diesel mereka.
Pemilik stesen minyak di Wang Kelian, Abdul Halim Ramli, 48, berkata peningkatan 30 peratus dari segi penjualan diesel di premisnya yang menjadi sasaran pemandu kenderaan pendaftaran Thailand.
Katanya, angkah kerajaan membantu perniagaannya dan mengurangkan penyeludupan diesel di sempadan.
"Sebelum ini, kenderaan diesel dari Thailand mengisi dalam 30 liter sebelum ke destinasi masing-masing disebabkan mereka ini akan mengisi diesel ini di stesen minyak di luar Perlis.
"Sekarang kenderaan diesel dari negara jiran mengisi antara 70 hingga 80 liter," katanya.