MIROS bangunkan ciri amaran pelanggaran untuk motosikal, guna teknologi LIDAR

oleh Mohamad Hanif|
Demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, agensi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) baru-baru ini telah membangunkan teknologi amaran pelanggaran berasaskan LIDAR (Light Detection & Ranging Technology) yang khusus untuk kegunaan motosikal.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Teknologi LIDAR tersebut berupaya untuk mengesan kenderaan di hadapan, sekaligus memberikan amaran kepada penunggang motosikal untuk mengelak halangan di hadapan dengan lebih selamat, terutama pada kelajuan tinggi.

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim menjelaskan, teknologi amaran pelanggaran yang telah meluas digunakan dalam sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) itu kini boleh diaplikasikan ke dalam reka bentuk dan pembuatan motosikal.

“Kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi ADAS untuk penunggang motosikal adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ADAS sangat terhad dan tidak meluas digunakan dalam reka bentuk dan pembuatan motosikal," ujar beliau lagi.

 


Pembangunan amaran pelanggaran untuk motosikal ini mengambil kira faktor berlakunya kemalangan melibatkan motosikal di laluan kecemasan, selain merujuk kepada faktor kesesuaian reka bentuk serta tingkah laku penunggang motosikal di Malaysia.

Selain daripada teknologi yang berimpak tinggi dengan kos yang rendah, ia juga amat mudah dipasang menerusi kaedah retrofit, dan ia diyakini dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehsediaan teknologi ini untuk digunakan secara meluas di kalangan penunggang motosikal di Malaysia dalam masa yang singkat.

Kajian MIROS mendapati kematian melibatkan pengguna motosikal di Malaysia adalah tiga kali lebih tinggi berbanding penggunaan kereta, enam kali lebih tinggi berbanding pejalan kaki dan 50 kali lebih tinggi daripada kematian melibatkan penumpang bas.

Selain daripada itu, pelanggaran antara pengguna motosikal dan kenderaan lain di lorong kecemasan masih lagi berada di tahap yang membimbangkan pada ketika ini.