"Nahas jalan raya membabitkan motosikal menjadi kes tertinggi di Malaysia berbanding kenderaan lain dan antara faktornya disebabkan pengubahsuaian tidak menepati piawaian asal kenderaan itu.
"Hasil analisis MIROS menunjukkan statistik kemalangan sendiri membabitkan motosikal sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal di Malaysia," katanya dalam kenyataan, semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal wanita Jumaat lalu di Bera, Pahang dan siasatan awal polis mendapati nahas berlaku apabila komponen T-Fork ditukar kepada jenis aluminium patah secara tiba-tiba.
Khairil Anwar berkata, MIROS tidak menyokong aktiviti pengubahsuaian motosikal seperti menukar sepit udang, saiz tayar motosikal tidak sesuai, ekzos motosikal dan tidak memasang brek belakang motosikal.
"Sebarang pengubahsuaian bagi tujuan berlumba, perhiasan (penambahan aksesori) atau lain-lain tujuan melanggar undang-undang jalan raya di Malaysia dan penggunaan komponen motosikal tidak menepati piawaian boleh memudaratkan penunggang serta pengguna jalan raya lain," katanya.