Misi 7,000 km oleh penunggang OKU

oleh Mohamad Hanif|
Untuk sampai ke lokasi yang digelar Thousand Corners di Mae Hong Son merupakan antara impian bagi setiap penunggang motosikal yang gemarkan cabaran, begitu juga bagi insan yang bernama Mohd Yusnizal Mohd Yussof atau lebih mesra digelar Sony.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun bagi Yusnizal yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Matrade, walaupun kehilangan sebelah tangan, impian sebagai seorang penunggang perlu diteruskan demi memberikan motivasi dan dorongan kepada mereka yang lain.

Tahun 1999 merupakan tahun yang kurang bernasib baik bagi Yusnizal apabila beliau mengalami kemalangan ketika menunggang sebuah Kawasaki Z1000 dan kecederaan yang dialami sekaligus meragut fungsi tangan kiri sehingga paras siku. 

Tempoh masa hampir setahun lebih diambil, dengan semangat dan jati diri yang tinggi, serta sokongan daripada rakan-rakan dan guru, beliau kembali bangkit daripada kemurungan dan perasaan rendah diri akibat kekurangannya. 
 


Berbekalkan keazaman tersebut, Yusnizal mahu memberikan kesedaran dan membuktikan kepada umum bahawa orang kurang upaya (OKU) juga boleh melakukan aktiviti yang mereka sukai dan sedar akan keistimewaan dan bakat mereka yang terpendam. 

Selepas daripada insiden tersebut, Yusnizal secara jujurnya mengaku memberanikan diri menunggang secara solo ke Krabi, Thailand menggunakan sebuah kapcai dan pada mulanya, beliau agak gementar untuk menghabiskan cabaran tersebut.

"Saya rasa sedikit sukar untuk mengimbangkan tunggangan ketika melalui kawasan Terowong Menora, dengan keadaan speed breaker yang agak tebal, serta lintasan bas dan lori yang berbahaya untuk seorang penunggang," ujarnya. 

Tambahan pula ketika menunggang di belakang lori treler yang agak perlahan bergerak, beliau terpaksa menjadi lebih berhati-hati sebelum akhirnya melepasi kawasan tersebut.
 


Apa yang pasti, tindakan berani beliau menghabiskan tunggangan secara solo itu akhirnya membuka mata rakan-rakannya untuk menyahut cabaran tunggangan bersama-sama, sekaligus mendorong mereka untuk melakukan ekspedisi Kembara Seribu Selekoh ke Thousand Corners di Thailand pada bulan hadapan. 

Cubaan terbaharu Yusnizal menerusi KSS ini bakal dimuatkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai "Penunggang sebelah tangan terpantas menghabiskan laluan seribu selekoh" dalam tempoh lima hari sahaja. 
 


Menurut pengurus projek Kembara Seribu Selekoh (KSS), Encik Muhammad Azni berkata, kadar persiapan secara keseluruhan kini siap 60% dan mereka masih lagi menunggu kata putus daripada para penaja bagi melancarkan misi tersebut. 

Ketika ditemubual, pihak pengurusan kini sedang bertungkus lumus menyusun atur strategi, perancangan serta tentatif melibatkan tempat permulaan, tempat tinggal serta penamat untuk kembara yang akan berlangsung selama 15 hari itu. 

Dari segi persiapan fizikal dan mental penunggang, jelas Yusnizal yang baharu sahaja pulang dari Hadyaai, mereka kini membiasakan diri untuk membuat latihan ketahanan berupa tunggangan wajib sejauh 500-700 km dalam masa sehari. 
 


Kembara Seribu Selekoh tersebut akan mengambil masa selama dua minggu dari 13-27 Disember dengan jarak perjalanan sejauh hampir 7,000 km yang bergantung kepada keadaan dan cuaca semasa, di samping merangkumi beberapa destinasi yang menarik untuk tatapan umum. 

Tidak banyak Yusnizal harapkan daripada misi kembara ini selain daripada memenuhi impian sebagai seorang rider, memberikan kenangan dan memori yang manis bersama-sama rakan-rakannya yang lain. 

Apa yang Yusnizal harapkan ialah semoga cerita yang beliau bakal coretkan daripada misi kembara seribu selekoh ini mampu membuka mata serta memberikan motivasi khususnya kepada mereka yang kurang upaya serta rakan-rakan yang lain bahawa, tiada apa yang mustahil untuk dicapai di dalam dunia ini. 
 


Untuk mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan dari segi penginapan, teknikal serta tajaan yang berkaitan, bolehlah terus menghubungi nombor yang tertera di bawah:

Muhammad Azni - 019-384 44669 (Pengurus)
Yusnizal (Sony) - 013-223 3533

Kisah perjalanan Kembara Seribu Selekoh (KSS) ini boleh dibaca menerusi pautan berikut:

Facebook: Remarkable Men's Ride
Instagram: remarkablerider

Untuk pembelian t-shirt sebagai tanda sokongan, sila lawati laman rasmi Facebook seperti yang tertera di atas. 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Sekatan jalan raya itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong bermula jam 10…
Informasi
"Melalui program ini, individu terlibat perlu menjalani penilaian pramemandu dan menunggang…
Berita Domestik
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata…