
Terbaru Mitsubishi memperkenalkan Delica D:2 dan Delica D:2 Custom 2025 dengan perubahan pada rekaan, rangkaian kuasa dan ciri keselamatan.
Delica D:2 tampil dengan bampar sama kecuali jeriji krom tiga baris dan corak sarang lebah ditanggalkan.
Pada bahagian dalam, hiasan panel meter diubah daripada warna gading (ivory) kepada perang.
Rupa depan Delica D:2 Custom pula langsung berbeza dengan bukaan besar, bilah menegak dari atas ke bawah dan gabungan krom dan hitam.

Bahagian corong penghawa dingin dan kemasan pintu kini berwarna titanium perak.
Pelanggan Delica D:2 ditawarkan tujuh warna termasuk pilihan baharu dua tona Pure White Pearl dan Mineral Gray Metallic.
Delica D:2 Custom mempunyai lapan pilihan seperti warna baharu Caravan Ivory Pearl Metallic dan dua tona Premium Silver Metallic dengan Mineral Gray Metallic.
Berkenaan rangkaian kuasa, Delica D:2 digerakkan enjin baharu Z12E 1,197 cc VVT tiga silinder hibrid ringan dan dipadan bersama kotak gear CVT.

Enjin VVT kemasukan dan ekzos menghasilkan 82 ps pada 5,700 rpm dan 109Nm pada 4,500 rpm.
Pakej elektrik terdiri daripada motor WA06D 2.3 kW (3.1 ps) pada 1,100 rpm dan tork 60Nm pada 100 rpm dan bateri litium-ion 3Ah.
Menurut Mitsubishi, Delica D:2 layak menerima pelepasan cukai eco-car dan cukai prestasi alam sekitar.
Delica D:2 2025 turut menjalani perubahan pada sistem bantuan pemanduan Mitsubishi e-Assist.

Kesemua varian dilengkapi Sistem Brek Pengelakan Perlanggaran (Dual Sensor Brake Support II) yang menggunakan radar gelombang milimeter dan kamera monokular.
Dua perkakasan itu berfungsi mengesan kenderaan, pejalan kaki, basikal dan motosikal termasuk di persimpangan.
Sistem bantuan pemanduan Delica D:2 2025:
- Sistem Brek Pengelakan Perlanggaran.
- Kawalan Suai Pandu (pengesanan kelajuan penuh dan fungsi henti dan tahan untuk HYBRID MZ & CUSTOM HYBRID MV).
- Bantuan Pengekalan Lorong.
- Sokongan brek kelajuan rendah (ke hadapan/belakang).
- Peringatan pergerakan kenderaan di hadapan.
- Monitor Titik Buta dengan bantuan pertukaran lorong (kecuali HYBRID MX).
- Peringatan Lintasan Trafik Belakang (kecuali HYBRID MX).

Selain itu, Delica D:2 dilengkapi Brek Parkir Elektrik dengan fungsi Brake Hold (kecuali HYBRID MX).
Sistem Peringatan Tempat Duduk Belakang memperingatkan pemandu jika terdapat barang yang tertinggal di tempat duduk belakang.
Pelanggan di Jepun sudah boleh menempah Delica D:2 selepas jualan dibuka pada 13 Februari 2025.
Varian dan harga Delica D:2 2025
HYBRID MX
- 2WD: 2,101,000 yen (RM62,185)
- 4WD: 2,226,400 yen (RM65,897)
HYBRID MZ (Pakej Kamera 360° & Navigasi)
- 2WD: 2,517,900 yen (RM74,525)
- 4WD: 2,643,300 yen (RM78,236)
CUSTOM HYBRID MV
- 2WD: 2,352,900 yen (RM69,641)
CUSTOM HYBRID MV (Pakej Kamera 360° & Navigasi)
- 2WD: 2,572,900 yen (RM76,153)
- 4WD: 2,698,300 yen (RM79,864)
Penulis: Muhammad Md Tajudin