Mitsubishi Delica D:5 Black Edition dan Delica D:5 CHAMONIX 2025 untuk Jepun

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mitsubishi Delica D:5 Black Edition
Mitsubishi Delica D:5 Black Edition
Trend Black Edition belum lagi luput dan tiada sebab kenapa perlu dihentikan.

Terbaru Mitsubishi memperkenalkan edisi istimewa Delica D:5 Black Edition untuk pelanggan di Jepun.

Mitsubishi turut perkenal Delica D:5 CHAMONIX dengan lapan tempat duduk dan pilihan baharu kepada model tujuh tempat duduk sebelum ini.

Pada 2023, Mitsubishi menawarkan Delica D:5 CHAMONIX dan Delica Mini dengan CHAMONIX Package.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025
Mitsubishi Delica D:5 CHAMONIX 2025

Black Edition diasaskan dari varian teratas Delica D:5 P dan tampil gelap dengan perkakasan hitam.

Warna Black Mica digunakan pada jeriji, pendakap lampu kedudukan, bezel lampu kabus, perumah cermin sisi, hendal pintu luar dan plat pelindung bawah depan dan belakang.

Rim aluminium 18 inci turut diwarnakan hitam dan secara keseluruhan nampak begitu 'jahat'.

Jika Black Mica terlalu gelap untuk Black Edition, terdapat dua lagi warna badan iaitu White Diamond atau dua tona Graphite Gray Metallic pada bahagian atas dan Black Mica di bawah.

Papan pemuka dan panel pintu menggunakan corak pepusar seperti CHAMONIX yang tampil misteri. 

Kerusi balutan kulit tulen warna hitam yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan (tujuh tempat duduk) kini dijadikan kelengkapan asas.

Jika mahu lebih istimewa, Mitsubishi menawarkan Black Nut & Emblem Package yang terdiri daripada lencana tukup warna perak dan hitam dan nat rim warna hitam.

Semua varian Delica D:5 digerakkan satu jenis enjin iaitu 2.4 liter 4N14 DI-D diesel turbo yang menghasilkan 145 ps pada 3,500 rpm dan 380Nm pada 2,000 rpm.

Enjin dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dengan mod sport dan pacuan empat roda.

Delica D:5 Black Edition dijual pada harga 4,733,300 yen (RM134,554).

Delica D:5 CHAMONIX lapan tempat duduk pula berharga 4,557,300 yen (RM129,524) dan 4,656,300 yen (RM132,338) dengan pemijak sisi elektrik.

Apa yang menarik adalah Mitsubishi mengekalkan harga sama untuk D:5 CHAMONIX tujuh tempat duduk.

Penulis: Muhammad Md Tajudin