Pada acara Geneva Motor Show, Mitsubishi turut mengambil kesempatan untuk memperlihatkan secara rasmi model SUV Mitsubishi Engelberg Concept.
Dinamakan bersempena dengan sebuah resort ski Swiss, Mitsubishi Engelberg ini merupakan sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) yang didatangkan dengan nadi 2.4 liter petrol.
Bahasa rekaan berbentuk X Dynamic Shield yang menjadi identiti utama Mitsubishi masih lagi diteruskan pada bahagian hadapan, menampilkan gril hadapan tertutup, lampu utama depan belakang yang tirus serta kemasan krom.
SUV ini turut dipasang rak kargo muatan bumbung yang dilengkapi dengan ciri bukaan automatik dan lampu limpah jenis LED di bahagian hadapan.
Jika diperhatikan, rekaan pemegang pintu dan cermin sisi konvensional sudah pun dibuang jauh-jauh dan digantikan dengan komponen digital yang lebih canggih.
Mitsubishi Engelberg menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang sangat luas, dihiasi dengan kemasan trim kulit putih dan lampu hiasan berwarna biru.
Turut sama dipamerkan pada booth Mitsubishi ialah Dendo Drive House, sebuah sistem pembekalan kuasa yang direka untuk kegunaan domestik sesuai untuk kenderaan EV dan PHEV.
Menurut Mitsubishi, sistem pakej ini mampu mengurangkan kos bahan api dan bil elektrik, terima kasih kepada penggunaan pengecas dua hala dan bateri penyimpan tenaga solar yang mampu bertindak sebagai generator ketika kecemasan.