Pada pameran sama, Mitsubishi turut memperkenalkan Xpander facelift yang sebelum itu dilancarkan di Indonesia pada November 2021.
Untuk kedua-dua Triton Ralliart (Double-Cab) dan Mirage Ralliart, Mitsubishi tidak mengusik komponen mekanikal dan elektrikal.
Perubahan dibuat pada bahagian kosmetik sebagai imbasan semula kereta bersejarah Mitsubishi dalam dunia rali.
Triton Ralliart (Double-Cab)
Model ini adalah tambahan kepada Triton Ralliart (Single-Cab) yang diperkenalkan pada November 2021.
Triton Ralliart (Double-Cab) ini diasaskan dari varian rendah (low rider) dan dilengkapi grafik sisi, penghadang lecak dan bed liner dengan logo Ralliart.
Model terbaru Triton Ralliart ini tidak sama seperti Triton Ralliart terdahulu.
Model ini dilengkapi kit badan penuh seperti airdam sisi, bampar depan dan belakang yang menyerlahkan imej rendah dan gayaan street look.
Roda kekal corak sama dalam warna hitam kilat. Pada bahagian dalam tidak banyak berubah kecuali alas kaki dengan logo Ralliart dan riasan warna merah.
Warna badan pula iaitu putih solid dengan bumbung hitam dan Jet Black Mica. Komponen seperti gril depan, cermin sisi, pembuka pintu penumpang dan pintu kargo diwarnakan hitam.
Mirage Ralliart
Mirage Ralliart yang dilancarkan ini adalah dari generasi keenam dan masih dijual di banyak buah negara termasuk Amerika Syarikat.
Dikeluarkan sejak tahun 2012, Mitsubishi memperbaharui Mirage dengan gayaan Dynamic Shield pada tahun 2019 dan teknologi canggih sistem pencegahan pelanggaran berdepan.
Mirage Ralliart yang diperkenalkan ini dilengkapi grafik sisi dan penghadang lecak dengan logo Ralliart.
Menyerlahkan lagi Mirage Ralliart ialah over fender yang tebal dengan kemasan karbon. Aksesori itu bersama penghadang lecak benar-benar menaikkan imej rali Mirage.
Pada bahagian dalam, Mirage ini dilengkapi alas kaki dengan logo Ralliart dan kerusi warna dua tona merah dan hitam.
Mirage Ralliart boleh didapati dalam dua warna pilihan iaitu White Diamond dan Red Metallic dengan warna hitam untuk bumbung, roda aloi, cermin sisi dan spoiler belakang.
Penulis: Muhammad Md Tajudin